Kreatif! Lelaki Ini Kongsi Cara Guna Bahan Terbuang Untuk Tanam Sayur

Penggunaan bahan buangan untuk menanam tanaman terutama sayur-sayuran semakin popular sejak akhir-akhir ini.

Selain menjimatkan kos, ia juga menjimatkan ruang serta tampak lebih cantik dan tersusun.

Botol plastik, kotak polisterina, bekas sabun pencuci pakaian, paip PVC (polyvinyl chloride) dan tong cat digunakan untuk aktiviti berkebun sama ada di kawasan kediaman, pejabat atau landskap.

Penggunaan bahan kit4r semula itu dianggap kaedah paling sesuai untuk bercucuk tanam terutama di kawasan kediaman yang memiliki ruang terhad.

Ini dibuktikan seorang pendawai elektrik, Nik Ismail Nik Him, 42, yang sanggup mengetepikan rasa malu mengutip bahan terbuang sama ada di tapak pembinaan atau tempat pembuangan sampah bagi merealisasikan projek kebun ‘kitar semula’ itu.

Menggunakan konsep tanaman terbalik atau ‘upside down planter’, Nik Ismail menggunakan botol minuman plastik bersaiz besar yang digantung secara terbalik dengan menanam pokok tomato sebagai cubaan pertamanya.

“Bahagian tapak botol dipotong terlebih dahulu untuk meletakkan anak pokok di bahagian mulut botol itu selepas dipenuhkan dengan tanah yang sudah dicampur baja.

“Tanaman dalam posisi terbalik mempunyai kelebihan tersendiri kerana pokok sentiasa lembap disebabkan air meresap ke bahagian batang dan daun dengan lebih cepat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jaya Gading, Kuantan, baru-baru ini.

Menurutnya, kaedah tanaman terbalik sudah lama dipraktikkan di negara Barat dan beberapa negara Asia Tenggara lain yang mengalami masalah kekurangan tanah. Ia secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan pekebun dan petani.

Lebih istimewa, kaedah itu membolehk4n Nik Ismail menjimatkan ruang tanaman di kebun sayur mininya yang hanya berkeluasan 14 meter persegi.

Selain itu, Nik Ismail berkata, kaedah ‘vertikular’ menggunakan paip PVC juga dapat menjimatkan ruang tanaman.

“Daripada terbiar begitu sahaja di kawasan pembinaan, lebih baik saya gunakan untuk menanam sayur-sayuran,” katanya yang menggunakan kaedah itu untuk tanaman sawi dan salad.

“Penggunaan paip PVC sudah lama dipraktikkan di China dan Indonesi4 untuk menjimatkan ruang tanaman di kawasan padat penduduk kerana permintaan terhadap sayur-sayuran sangat tinggi,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Menurutnya, untuk membuat ‘batas’ daripada paip PVC, dia hanya menggunakan pemanas api sebelum menekan bahagian berkenaan dengan botol kaca untuk membuat lubang.

“Lubang yang terbentuk dalam tempoh beberapa minit itu kemudian dibasahkan dengan air untuk mengeraskannya semula.

“Paip berkenaan kemudian diisi tanah bercampur baja sebelum diletakkan anak pokok pada setiap lubang,” katanya yang mengenakan bayaran antara RM35 hingga RM50 untuk setiap ‘pasu’ PVC yang ditempah pelanggan.

Nik Ismail juga menggunakan teknik hidropot dengan meletakkan anak benih ke dalam cawan plastik atau polisterina yang kemudian diletakkan dalam botol makanan plastik mengandungi air di bahagian bawahnya.

“Teknik ini mempercepatkan proses tumbesaran pokok selain menjadikannya lebih segar dan subur.

“Dari segi penggunaan tanah, saya mencampurkan tanah organik, tanah hitam dan sabut kelapa serta baja tahi ayam dan siraman air baja AB yang dibeli daripada rakan yang turut menjayakan tanaman menggunakan bahan kitar semula,” katanya yang memperuntukkan waktu pagi dan petang untuk menyiram tanamannya.

Menceritakan permulaan aktiviti berkebun menggunakan bahan kitar semula itu, Nik Ismail mengakui ia sekadar mengisi masa lapangnya selepas selesai ‘menjenguk’ kebun tebu seluas 0.2 hektar di kawasan berhampiran rumahnya.

Akhirnya, daripada sekadar suka-suka, ia bertukar menjadi serius selepas melihat hasilnya subur menghijau dengan kos yang sangat minimum.

Selain tomato, sawi dan salad, Nik Ismail turut menanam cili, brokoli, daun saderi, daun bawang, kucai dan kobis untuk dimakan sendiri selain turut dikongsi bersama jiran.

“Kawasan lapang rumah saya agak sempit. Menerusi kaedah ini saya boleh menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan kini sudah memasuki musim kedua tanaman yang berlainan pula,” katanya.

Nik Ismail berkata, dia mempelajari teknik bercucuk tanam melalui Facebook dan beberapa rakannya yang turut menggunakan kaedah yang sama.

Menurutnya, tanaman menggunakan bahan kitar semula itu tidak mendatangkan masalah kerana ia boleh diubah dan ditanam di mana-mana sekalipun di atas lantai simen atau tar.

Nik Ismail mengakui cubaan pertama menggunakan kaedah itu gagal kerana tiada pengetahuan secukupnya terutama membabitkan faktor cuaca dan keadaan tanah serta baja tidak sesuai.

“Saya dan isteri (Zaleha Mat Nor, 38,) kini jarang membeli sayur-sayuran di pasar, sebaliknya menggunakan hasil tanaman sendiri yang lebih menjimatkan.

“Saya tak sangka usaha secara berperingkat sejak Oktober tahun lalu bagi mewujudkan kebun sayur di kawasan rumah menjadi kenyataan walaupun hanya menggunakan bahan terbuang,” katanya.

Kebun kitar semula Nik Ismail semakin dikenali ramai selepas diviralkan di Facebook selain turut menerima kunjungan pegawai jabatan pertanian untuk melihat sendiri konsep dan kaedah digunakannya.

Sumber: Harian Metro

 

 

(Visited 1,286 times, 8 visits today)