Lalu Laluan Kecemasan, Berhenti Tengah Jalan, Ugut Dengan Kunci Stereng, Samseng Jalan Berjaya Ditahan

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak menahan seorang lelaki yang disyaki sebagai samseng jalanan dalam kejadian di Kilometer 306 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 13 Januari lalu.

Ketua JSPT Perak Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pihaknya dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuala Langat menahan suspek berusia 40 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Putra, Banting di Selangor pada 5 petang semalam.

Menurutnya, penahanan lelaki itu dibuat susulan video yang tular di media sosial mengenai sebuah Toyota Vios memotong menggunakan lorong kecemasan sebelum memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba dan menghalang laluan di lorong kiri bersama sebuah Proton Satria.

“Berdasarkan rakaman video berkenaan, penumpang hadapan Toyota Vios itu dan pemandu Proton SAtria kemudiannya turun dari kenderaan masing-masing sebelum seorang daripada mereka mengacukan besi pengunci stereng kereta beberapa kali ke arah sebuah kenderaan lain.

“Kami dapati tindakan berkenaan jelas membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Zakaria berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan   Tak Puas Hati Diminta Tutup Suis Lampu, Seorang Anak Tetak Kepala Ibunya Dengan Pisau Pemotong Daging