“Langsung Tidak Terdetik Di Fikiran Kami Untuk Mempromosikan Sesuatu Yang Memalukan Agama” Teruk Dikecam Akhirnya Pengarah Ini Buka Mulut

“SAYA tidak kisah dikritik kerana tidak melakukan kesalahan. Drama ini hanya menceritakan kejadian sebenar selain mengangkat martabat tahfiz itu sendiri,” kata Nor Zahirah Abdul Rahman atau Eyra Rahman, 37, sutradara drama Demi Tuhan Aku Bersaksi (DBAT) yang kini terpalit kontroversi.

Eyra berkata, dalam pengetahuannya drama itu dikritik banyak pihak kononnya mempromosikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Langsung tidak terdetik di fikiran kami untuk mempromosikan sesuatu yang memalukan agama. Kami hanya menghasilkan drama yang memaparkan kisah sebenar dan diharap dapat jadi iktibar ramai,” katanya.

Eyra turut memaklumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak akan menarik penyiaran drama itu dan akan membincangkan tarikh siaran pada Isnin ini.

“Tiada potongan babak dalam drama ini dan ia mengikut piawaian yang dibenarkan. RTM adalah stesen televisyen yang tegas dalam penyiaran dan mereka berpuas hati,” katanya yang dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Eyra, banyak pihak mengkritik drama itu hingga tular di laman sosial namun belum tentu mereka agamawan atau ustaz.

“Saya bukan tidak mahu ambil tahu (kes ini) tetapi enggan memeningkan kepala. Saya tidak melakukan kesalahan dan mungkin pengkritik ialah warganet,” katanya.

Menurutnya lagi, drama itu menjalani penggambaran sekitar April lalu dan tamat sebulan kemudian.

Sebelum ini, tular di laman sosial apabila beberapa pihak mendakwa drama itu mencemarkan kesucian Islam dengan mengisahkan salah laku liwat dalam kalangan pelajar tahfiz.

Sementara itu pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin menolak tuduhan bahawa pengarah drama di negara ini ejen Yahudi dengan menghasilkan karya yang mencemarkan kesucian Islam.

“Kami bukan ejen Yahudi, kami orang Islam yang sayangkan agama. Kerana sayangkan agama kami nasihat melalui karya,” katanya

Artikel Berkaitan   Tsunami Indonesia: Angka korban meningkat kepada 168 setakat ini

Dia yang menerbitkan drama Nur pada Julai lalu turut dikritik sebaik karyanya mengisahkan penyelewengan yang berlaku dalam pusat tahfiz.

“Drama kami bukan rekaan, ia kisah benar. Dalam dunia seni kami dilabel ahli neraka sedangkan niat sebenar memperbetulkan masyarakat,” katanya.

Bekas pelajar sebuah maahad di Johor itu berkata, salah laku liwat sudah berlaku sejak 30 tahun lalu namun dianggap kes terpencil oleh pihak tahfiz.

“Masalah itu sentiasa berulang sehinggalah sekarang. Sewaktu menjadi penulis pada 2008, seorang penjaga pusat tahfiz menceritakan kepada saya kejadian dirinya diliwat dan apabila bekerja dia membalas dendam kepada muridnya.

“Ilham itu diterjemahkan semula melalui drama dan sepatutnya diambil tindakan oleh instutusi agama bukannya mengkritik,” katanya.

Dalam pada itu Shahrulezad memuji tindakan beberapa penceramah agama seperti Ustaz Ebit Liew dan Ustaz Don yang berfikiran terbuka untuk menyelami industri hiburan tanah air.