Larangan Merokok di Premis Makanan Bermula Tengah Malam 1 Januari 2019

Larangan merokok di premis makanan bermula tengah malam

KUALA LUMPUR: Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 12 tengah malam nanti, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

“Ia bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

“Premis itu membabitkan semua kaedah perniagaan tidak kira bertutup, berhawa dingin, atau berkonsep terbuka (open air).

“Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini – Berita Harian

Larangan merokok di restoran, premis makanan 1 Januari 2019

SUNGAI PETANI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuatkuasa tahun depan.

Menurutnya, selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua restoran dan premis makanan termasuk warung-warung makanan di tepi jalan.

“Kita sedar arahan ini sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran-restoran tertentu sahaja.

“Tetapi kali ini, semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan ini bermula tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program International Conference on Life Style Disease (AICLSDs) di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan   “Berani sungguh!” – Selain Aina Abdul, Persembahan AJL Drama Band Kena Buang Dari Youtube

Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Universiti AIMST, Profesor Emeritus Dr Harcharan Singh Sidhu.

Dr Lee berkata, tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Katanya, pihak kementerian juga tahu akan timbul pelbagai reaksi atau bantahan daripada perokok dan juga pemilik restoran berikutan arahan ini namun pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini.

“Masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan mereka tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka.

“Peniaga juga tidak perlu risau akan risiko kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap rokok,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah antara usaha KKM untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

“Situasi ini sekali gus diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya – Berita harian

Denda RM10,000 atau penjara 2 tahun merokok di restoran terbuka

Semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok bermula Disember ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbinca­ngan de­ngan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, langkah ini merupakan inisia­tif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan mero­kok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Artikel Berkaitan   Minum dah nak habis, pemuda terkejut jumpa lipas dalam ‘bubble tea’ jenama terkenal

“Saya memohon sokongan anda semua. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, mereka terbabit boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara, Khamis.

Selain itu beliau turut mencadangkan bilik me­rokok di Parlimen ditutup mulai Oktober ini bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.
 Katanya, cadangan ini akan dilaksanakan sekiranya tidak ada sebarang halangan.

Malah jelasnya, seta­­kat ini di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23 tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk pusat hiburan, teater (kecuali pub, disko, kelab malam dan kasino), dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa di­ngin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan.

“Selain daripada Peraturan 11, di bawah Peraturan 22, Menteri Kesihatan juga boleh menentukan sesuatu kawasan sebagai kawasan larangan merokok.

“Sehingga 2018, terdapat lima negeri yang mewartakan peraturan itu dan kementerian komited mewartakan semua tempat awam sebagai kawasan larangan me­rokok,” ujarnya – Berita Harian