Lebih Setengah Juta Rakyat AS Dijangkiti COVID-19, Tapi Mereka Masih Berdegil & Bantah PKP!

Ketika ini, Amerika Syarikat mencatatkan lebih setengah juta kes jangkitan COVID-19 dengan melibatkan hampir 40 ribu kematian di seluruh negara.

Data ini diperoleh dari laman web Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit (CDC).

Angka itu dijangka akan berterusan meningkat, dek kedegilan sebahagian rakyat negara itu yang enggan mematuhi perintah berkurung yang dilaksana mengikut negeri masing-masing.

Protes, demonstrasi jalanan dan bantahan dibuat di beberapa lokasi — kerana rakyat mendesak perniagaan dibenar beroperasi seperti biasa, selepas lumpuh seketika akibat penularan pandemik maut itu.

Lebih mengerikan, selain bertindak ‘bodoh’ atas nama hak asasi dan kebebasan manusia — mereka yang terlibat dalam bantahan ini turut percaya bahawa pandemik COVID-19 merupakan satu penipuan.

Situasi seumpama ini dilapor berlaku di Texas, Michigan, Minnesota dan Virginia. Malah The New York Times melaporkan, Presiden Donald Trump sendiri turut ‘menghasut’ rakyatnya agar membantah perintah berkurung tersebut.

Pemerhati mendakwa, Trump sengaja menggunakan kesempatan di sebalik penularan pandemik ini untuk melakukan kempen dari negeri ke negeri menjelang pilihan raya yang dijadual tidak lama lagi.

Apa pun, inilah hasilnya jika sesebuah negara itu dipimpin oleh individu yang kucar kacir pemikirannya dan meletakkan material sebagai priority berbanding keselamatan rakyat. Apa yang nyatanya ketika ini — Amerika Syarikat sudah pun menjadi negara nombor satu dengan jumlah kes jangkitan tertinggi di dunia.

Sumber : Lobakmerah