Lelaki Ditemui Bunuh Diri Berserta Nota Ringkas Yang Ditinggalkan Untuk Ibu Dan Abangnya

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai selepas membunuh diri di sebuah kondominium di Brickfields, ibu negara, pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected], pihaknya menerima panggilan pada 8.15 malam tadi dari seorang pengawal keselamatan kondominium terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 44 tahun itu, belum berkahwin dan bekerja di sebuah syarikat di Jalan Bangsar serta menyewa sebuah bilik studio seorang diri.

“Pihak polis juga menjumpai satu nota yang menulis pesanan kepada ibu dan abangnya dan terdapat juga pelbagai ubat-ubatan dijumpai di bilik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zairulnizam berkata mangsa disyaki mempunyai masalah berkaitan jantung.

“Pihak forensik telah hadir membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mengesahkan tiada sebarang kesan atau unsur jenayah.

“Mangsa telah dibawa ke hospital terdekat untuk bedah siasat dan keluarga mangsa juga telah dimaklumkan mengenai kejadian,” jelasnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian +603 2297 9222.

Artikel Berkaitan   Bapa Durjana Hadapi 105 Tuduhan Liwat Dan Rogol Anak Sendiri Yang Masih Kecil