Lelaki Ini Dituduh Bertindak Merogol Dan Mengurung Remaja Perempuan Yang Baru Dikenali Tiga Hari

Seorang pekerja bengkel sanggup bertindak merogol dan mengurung remaja perempuan yang baru dikenali tiga hari di dalam sebuah hotel di Iskandar Puteri dekat sini minggu lalu.

Perbuatan itu lelaki berusia 30 tahun bagaimanapun menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan sebaik ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah hotel dekat Iskandar Puteri di sini, antara 11 malam, 17 September lalu hingga 3 pagi, 18 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengurung remaja terbabit di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Sabiq Mohd Subri dan Zalina Yacob itu tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon diberikan ikat jamin sebelum mahkamah membenarkan dia dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan melarang tertuduh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Oktober ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Abang Dimasukkan Ke Penjara, Ini Respon Adik Farid Kamil