Lelaki Ini Mengaku Memukul Kepala Mangsa Dengan Sebatang Kayu Kemudian Menikam Paha Kiri Beberapa Kali

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki mengaku salah menyebabkan kecederaan terhadap individu dikenali yang mencuri motosikalnya menggunakan pisau dan kayu, di Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Tertuduh, Raja Mohd Riswadi Raja Ibrahim, 30, dari Manir, mengaku salah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Wan Muhammad Amirul Faiz Wan Ismail, 27, kira-kira jam 11.30 malam di tepi jalan, Jalan Kampung Raja Muda Kubang Tepak Manir, pada 9 April lalu, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim di hadapan Majistret, Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Dalam kejadian itu sebelum ini, mangsa ke lokasi kejadian untuk berjumpa kenalannya sebelum diserang lelaki dikenali iaitu tertuduh yang memarahinya kerana tidak berpuas hati motosikalnya dicuri mangsa sebelum itu.

Tertuduh bertindak memukul kepala dan badan mangsa dengan sebatang kayu selepas menikam paha kiri beberapa kali menggunakan sebilah pisau dibawa menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan terpaksa menerima 10 jahitan di kepala, sebelum ditahan tiga hari di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.