Lelaki Ini Nekad Duduk Di Atas Mangkuk Tandas Selama 5 Hari Kerana Mahu Pecah Rekod Dunia

OSTEND, Belgium – Seorang lelaki Belgium duduk di atas mangkuk tandas selama hampir lima hari pada minggu lalu dalam usaha memecahkan rekod dunia, lapor agensi berita Reuters.


Jimmy De Frenne, 48, pada asalnya melakukan cabaran untuk duduk selama 165 jam di atas mangkuk tandas di sebuah tandas yang dibina khas bagi tujuan itu di sebuah bar di sini.

Bagaimanapun, dia mengaku kalah pada Jumaat lepas selepas berbuat demikian selama 116 jam.

“Kenapa saya buat perkara ini? Kenapa tidak?” kata De Frenne kepada saluran Reuters Television.

Bar Filip’s Place di sini dibuka sepanjang cabaran tersebut berlangsung bagi membolehkan rakan serta anggota keluarga De Frenne melawatnya dan berbual.

De Frenne dibenarkan berehat selama lima minit setiap satu jam. Bagaimanapun, dia mengumpulkan masa rehat itu sehingga beberapa jam dan menggunakannya untuk tidur.

Duduk di atas mangkuk tandas untuk tempoh yang lama tidak semudah seperti yang disangka, katanya.

“Saya penat dan kedua-dua kaki saya sakit tetapi saya percaya akan berjaya dan menjadikan rekod ini rasmi,” ujar De Frenne.

Sehingga kini, tiada rekod rasmi bagi kategori tersebut tetapi De Frenne berkata, dia mendapat tahu bahawa terdapat orang lain yang pernah melakukannya selama 100 jam.

Menurutnya lagi, pihak Guinness World Records mengetahui tentang percubaan itu, manakala pihak berkuasa tempatan serta saksi-saksi memainkan peranan bagi memastikan rekod tersebut diiktiraf. – Reuters