Lelaki Ini Terhidu Bau Busuk Yang Datang Dari Tepi Jalan Akhirnya Polis Menemui Mayat Yang Berusia 10 Hari

KANOWIT: Mayat seorang lelaki yang telah reput dipercayai sudah mati lebih seminggu ditemui oleh orang awam di Jalan Kanowit-Durin berhampiran dengan bulatan Kanowit pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kes itu selepas seorang pengadu menghubungi Balai Polis Kanowit pada jam 3.40 petang.

“Pengadu telah memaklumkan dia terhidu bau busuk berkemungkinan bangkai haiwan atau mayat manusia semasa berjalan melalui kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dua anggotanya yang diarah membuat pemeriksaan telah menjumpai satu mayat yang sudah reput dan belum dikenal pasti.

“Hasil daripada pemeriksaan terhadap mayat tersebut, didapati ia mulai mereput dipercayai telah mati lebih seminggu,” ujarnya.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada tubuh si mati yang memakai seluar jean dan bertali pinggang hitam tanpa berkasut.

Berdasarkan kepada keadaan mayat tersebut, katanya, lelaki itu dipercayai telah mati lebih daripada 10 hari yang lalu.

Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Kanowit untuk dibedah siasat.

Setakat ini, katanya, tiada sebarang laporan orang hilang dibuat di daerah Kanowit

“Kes buat masa ini disiasat sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh nanti,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan   Wanita Lumpuh Muka Sebelah Kiri Gara-Gara Terima Suntikan Buang Kejut Di Muka