
Walaupun sekarang zaman moden dan teknologi semakin maju tetapi masih lagi ada orang-orang yang mengamalkan perbuatan syirik yang menyekutukan Allah demi kepuasan diri sendiri sehingga sanggup menggunakan amalan ilmu hitam, sihir dan santau angin untuk menjatuhkan orang yang dibenci.
Ilmu sihir sebegini juga boleh menakutkan ramai pihak yang terbabit kerana perbuatan syirik ini juga membolehkan sesiapa yang terkena buatan orang boleh membawa kepada kematian yang menyebabkan berlakunya ketakutan dan kemurungan yang berpanjangan.
Perkongsian seorang lelaki di laman Facebook miliknya iaitu Ahmad Junaidi Abdul Aziz telah membuktikan masih lagi ada yang menggunakan amalan ilmu hitam pada zaman ini untuk memuaskan hati mereka sehingga sanggup menggunakan sihir untuk tujuan peribadi.
Santau Angin Dihantar Bersama Tanah Kubur dan Gambar
Barang yang berbalut dengan kain kuning yang ditemui dipercayai sihir.
Kemas-kemaskan showroom hari ini, nak pindahkan barang dan nak tutup kedai. Ketika sedang alihkan barang, seorang pekerja terjumpa benda ni di belakang locker besi.
Aku cuma nak bagitahu, sesiapa yang hantar benda ni, kau dah berjaya tapi aku langsung tak marah dan nak ucapkan terima kasih kat kau kerana apa yang kau hantar ni buat aku buka mata untuk cuba banyakkan lagi cabang perniagaan yang lain.
Aku maafkan kau dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kalau boleh marilah kita bersahabat. Semoga menjadi asbab untuk kita sama-sama berjaya di dunia dan akhirat. Perkongsian lelaki ini telah mendapat perhatian ramai netizen dan turut dikongsikan oleh mereka untuk dijadikan pengajaran kepada semua orang yang turut mengamalkan perbuatan sebegini untuk menjatuhkan orang.
Anda pasti ingin tahu apakah yang terdapat di dalam balutan kain kuning ini. pasti ramai yang dapat meneka apakah kandungan yang terdapat di dalamnya. Perkara sebegini semakin kerap berlaku di kalangan masyarakat Melayu kita pada hari ini.
Tanah Kubur dan Gambar Mangsa
Gambar mangsa bersama tanah dipercayai tanah kubur yang dikatakan sebagai santau angin.
Kain balutan berwarna kuning ini dipercayai mempunyai tanah kubur yang turut diletakkan bersama gambar mangsa dengan tujuan sihir untuk mengenakan mangsa dengan niat yang jahat.
Ada yang berpendapatkan balutan kain kuning ini adalah santau yang telah dihantarkan oleh seseorang kepada mangsa atau dengan lebih tepat lagi ia dipanggil juga sebagai santau angin dengan tujuan untuk menjatuhkan perniagaan mangsa atau menganggu kehidupannya.
Mengapa masih lagi ada manusia yang sanggup berbuat demikian dan tergamaknya mereka buat begini dengan tujuan untuk menyihirkan mangsa menggunakan ilmu hitam yang sememangnya ditegah oleh agama Islam.
Selepas lelaki tersebut melihatkan kandungan kain kuning tersebut beliau mengambil keputusan untuk membakar barang tersebut dan itulah yang sepatutnya dilakukan. Mengapa perlu disimpan jika ia boleh memudaratkan dirinya sendiri.
Selepas barang sihir ini dibuka ia dibakar keseluruhannya.
Difahamkan melalui perkongsian Ahmad Junaidi, dia sedikit pun tidak menyimpan dendam terhadap ‘penghantar sihir’ tersebut malahan sanggup memaafkan serta menerima berita ini dengan hati yang terbuka.
Walau bagaimanapun, menerusi perkongsian lelaki ini, rata-rata netizen kelihatan marah dan mengecam perbuatan individu berkenaan yang sanggup menggunakan sihir atau perbuatan syirik ini demi kerana kepuasan peribadi dengan tujuan untuk menjatuhkan orang lain.
Antara komen netizen yang mengikuti perkongsian Ahmad Junaidi.
Ada yang turut berkongsi bahawa mereka juga pernah terkena perkara yang sama.
Zaman sekarang perkara ini bukan lagi baru malah semakin menjadi-jadi
Malahan, ada juga netizen yang menawarkan diri untuk mengesan serta mencari siapakah individu yang berbuat demikian terhadap lelaki ini. Ada juga yang berpendapat sekiranya dicari dengan menggunakan pertolongan bomoh atau orang-orang tertentu kita pasti tahu siapakah dalangnya.
Sesungguhnya perbuatan sihir ini amat memalukan diri sendiri dan ahli keluarga lain jika diketahui oleh orang ramai berserta bukti apa yang telah dibuatnya. Siapa sangka pada zaman internet yang serba maju ini masih lagi ada yang berfikiran cetek dengan mengambil jalan mudah untuk merosakkan kehidupan orang lain.