Lelaki Tidak Percaya Pisau Karat Sepanjang 10 Sentimeter Tertanam Dalam Kepalanya Sejak 26 Tahun Lalu Berjaya Dikeluarkan

GUANGDONG: Umpama diberikan peluang kedua untuk hidup. Itu keajaiban yang berlaku kepada seorang warga emas di China yang terselamat selepas pisau karat sepanjang 10 sentimeter tertanam dalam kepalanya sejak 26 tahun lalu berjaya dikeluarkan melalui dua pembedahan, 2 dan 8 April lalu.

Lapor Oddity Central, Duorijie, 76, yang menetap di kawasan pedalaman di wilayah Qinghai itu pernah ditikam di kepala dalam kejadian keganasan pada 1994.

Meskipun nyawanya masih panjang, namun pekebun itu kerap mengalami gejala kehilangan penglihatan mata kanan dan sakit kepala kronik selain kelumpuhan di tangan dan lengan kirinya.

Warga emas itu dirujuk kepada doktor di wilayah itu bulan lalu, sebelum diterbangkan sejauh 3,000 kilometer untuk menjalani rawatan berikutan kekangan kelengkapan di hospital tempatan.

“Ketika menemuinya dalam lawatan perubatan ke Qinghai, dia hanya diberikan ubat penahan sakit.

“Tetapi gejala dialaminya semakin parah. Oleh kerana kekurangan kemudahan di hospital tempatan, kami membawanya ke Shandong untuk mendapatkan rawatan terbaik,” kata Dr Zhang Shuxiang.

Ketua Pembedahan Neuro Shandong First Medical University di Jinan, Dr Liu Guangcun berkata, proses membuang senjata itu sukar namun hanya itu cara terbaik bagi menamatkan semua penderitaan warga emas itu sejak sekian lama.

Mengulas kejayaan pembedahan, warga emas itu menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang membantunya termasuk memberikan rawatan dan pembedahan percuma.

“Saya tak mampu ketawa, menguap mahupun batuk.

“Doktor beri saya peluang kedua dalam hidup dengan menamatkan mimpi ngeri saya selama lebih 20 tahun,” katanya.

kredit harian metro