Lelaki Yang Jatuh Dan Terbaring Di Stesen Minyak Bukan Sebab COVID-19

POLIS menafikan seorang lelaki yang terjatuh dan terbaring di sebuah stesen minyak di Batu Caves, hari ini, mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki itu sebaliknya jatuh dari motosikal dan terbaring akibat mabuk.

“Kejadian itu dimaklumkan kepada kami kira-kira jam 10.30 pagi selepas tular satu video di media sosial.

“Siasatan mendapati kejadian lelaki terbaring adalah dipercayai kerana mabuk, bukan Covid-19,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Arifai berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ada bau minuman keras di badan lelaki terbabit selain kecederaan di lututnya akibat terjatuh.

“Lelaki berkenaan sudah dihantar ke Hospital Selayang menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

“Polis memandang serius video tular terbabit yang mengaitkannya dengan serangan wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan untuk mengesan siapa individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar itu.

“Ini adalah satu isu yang serius. Orang ramai diingatkan untuk tidak dan sesuka hati menyebarkan berita palsu. Mereka boleh dikenakan tindakan tegas undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan   Menaik Dengan Mendadak, Kini Jumlah Kes Covid-19 di Sepanyol Lebih Tinggi Mengatasi Itali