Leman Raja Lawak Hadir Kerana Dituduh Melakukan Pencabulan Ke Atas Pekerjanya

PUTRAJAYA – Dua hari selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bekas peserta Raja Lawak musim kelima, Sulaiman Ibrahim hari ini dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun.

Tertuduh yang dikenali dengan nama Leman Raja Lawak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Sulaiman, 38, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang tangan mangsa di dalam sebuah kereta di kawasan perumahan di Puchong, pada 3.30 petang 6 April lepas.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah berpakaian sut lengkap berwarna hitam dan memakai tengkolok di kepala, juga dituduh melakukan kesalahan serupa ke atas mangsa sama dengan cara berbeza, di Taman Putra Permai Kota Perdana, Seri Kembangan, kira-kira pukul 4 petang pada hari sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Sulaiman didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali tidak mencadangkan sebarang ikat jamin atas alasan tertuduh mengenali dan mengetahui tempat tinggal mangsa.

Menurut Norazalina, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau memohon syarat tambahan yang ketat dikenakan terhadap lelaki itu.

Peguam Muaz Zafar yang mewakili Sulaiman bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung.

“Anak guam saya mempunyai pendapatan tidak tetap dan tidak menentu. Pohon jumlah jaminan yang rendah,” katanya.

Mahkamah membenarkan Sulaiman dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati, menghubungi dan berkomunikasi dengan mangsa serta keluarga mangsa secara dalam talian dan apa cara sekalipun selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga perbicaraan selesai.

Pada Rabu lepas, Sulaiman yang kini pengarah urusan sebuah syarikat produksi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pekerja wanitanya November tahun lepas. – K! ONLINE