“Lihat Ke Dalam Mata Saya. Saya Bahagia Dengan Farid.” Tegas Diana Danielle

“SAYA tidak berani untuk berjanji atau sumpah atas nama Allah, tetapi lihat ke dalam mata saya. Saya bahagia dengan Farid.”

Demikian ungkapan Datin Diana Danielle menutup spekulasi umum kononnya hubungan rumah tangganya bersama pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil sedang berantakan.

Mengukir raut wajah penuh persoalan, pelakon itu sendiri berasa pelik dengan khabar angin yang mendakwa dia dan Farid tidak lagi tinggal sebumbung sedangkan sebagai pasangan mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

Diduga dengan ujian demi ujian dalam kehidupan rumah tangga Diana bagaimanapun mengakui kasihnya terhadap Farid semakin utuh dan sedar betapa mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

“Ironinya, selepas apa yang berlaku sepanjang perkahwinan, kami semakin bahagia. Memikirkan setiap kesusahan yang ditempuh bersama menyedarkan bahawa saya sentiasa ada untuk Farid begitu juga sebaliknya.

“Setiap kepahitan dan cabaran yang ditempuhi telah mematangkan kami,” katanya kepada Kosmo!ketika ditemui pada Festival Perlumbaan Toyota Gazoo musim ketiga di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kekuatan

Jarang berkongsi mengenai kisah peribadi, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, kehidupannya kini semakin lengkap selepas membuat keputusan membawa ibunya, Norsiah Ramli tinggal bersama.

Katanya, sebagai anak yang bertanggungjawab sekarang merupakan masa terbaik untuk membalas jasa ibunya yang selama ini berkorban demi memastikan keperluannya mencukupi.

Keberadaan ibunya di sisi antara faktor bintang filem Hanyut itu sentiasa kuat untuk berdepan dengan setiap ujian yang mendatang.

“Sudah dua tahun ibu menetap bersama kami sekeluarga. Kami tidak lagi tinggal berasingan. Setiap hari bangun tidur, saya sentiasa bersyukur kerana adanya ibu di sisi.

“Adanya ibu, saya mempunyai tempat untuk mengadu, meminta nasihat dan menangis sepuasnya. Setiap hari saya memanjatkan kesyukuran terhadap Allah atas peluang ini,” luahnya jujur.

Mengajak Diana untuk merenung kembali kehidupannya sepanjang ketiadaan Farid selama 35 hari kerana menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 15 Mei lalu, Diana pantas mengukirkan senyuman.

Apatah lagi sepanjang tempoh berkenaan menyaksikan Diana mampu menjalani kehidupan seperti biasa biarpun tanpa suami di sisi.

“Saya tidak murung. Ada ketika saya berdebar dan berasa takut. Namun, selepas saya reda dan yakin setiap dugaan yang datang merupakan aturan daripada Allah, saya menjadi tenang,” ujarnya.

Akui Diana, sebagai seorang isteri sudah pasti dia merasai kehilangan Farid dalam tempoh hukuman penjara tersebut, namun melihat wajah anaknya, Muhammad, 6, dan Nur Aurora, 4, hati kecilnya berbisik Allah tidak kejam kerana masih memberi dirinya peluang bersama insan-insan tersayang.

“Setelah apa yang berlaku saya mempelajari mengenai konsep kehidupan adalah sementara. Setiap perkara yang baik juga sementara, begitu juga sebaliknya. Saya tidak mahu buruk sangka dengan ketentuan Allah.

“Jika ada satu dugaan besar mendatang, saya yakin wujud juga perkara baik yang akan hadir kelak. Sebagai manusia, kita jangan terlalu makan hati sehingga murung. Percaya dengan Allah,” tegasnya.

Karier seni

Beralih bicara mengenai karier seni, tutur Diana selepas sekian lama dia kini semakin terbuka untuk bekerjasama dalam sesebuah naskhah.

Terdahulu pelakon drama Raisha itu pernah memberi kenyataan bahawa dia enggan bekerjasama dengan Farid secara profesional berikutan kedua-duanya bersikap panas baran dan saling bertentangan pendapat.

Pendirian Diana bagaimanapun berubah selepas dipujuk suaminya.

“Rasanya ramai yang tahu bahawa saya sering mengelak untuk bekerjasama dengan Farid dalam kerja. Tetapi kali ini dia berjaya memujuk saya untuk bekerjasama dengan kerja seninya,” kata Diana.

Berkongsi mengenai projek istimewa tersebut, jelas wanita berusia 28 tahun itu, Farid bakal terbabit sebagai penerbit dalam filem Remp-It 2, manakala dia bertindak sebagai pembantu.

“Farid mahu saya belajar mengenai selok-belok dunia penerbitan. Saya pula tidak pernah mempunyai latar belakang ilmu berkaitan penerbitan. Jadi, apa salahnya belajar.

“Sampai bila saya mahu jadi pelakon. Saya terima tawaran Farid kerana ilmu baharu dan berbaloi untuk dipelajari,” kongsinya.

Selain bakal bekerjasama dengan suaminya menerusi filem Remp-It 2, Diana juga sedang sibuk mengumpulkan material untuk album penuh yang dijangka menemui peminat pada tahun depan.

Album tersebut mempertaruhkan lagu dengan elemen muzik country, pop dan R&B.

Sebagai debut daripada album berkenaan, Diana akan meluncurkan sebuah single baharu sebelum penghujung tahun ini.

“Single baharu saya berentak balada dan dirakamkan dalam bahasa Melayu untuk pasaran tempatan. Lagu itu juga mempunyai kaitan dengan kehidupan saya dan sepenuhnya ciptaan sendiri,” katanya mengakhiri bicara.

Akur adakala rumah tangga yang dibina ditimpa pelbagai ujian, Diana Danielle memilih untuk tenang melalui setiap dugaan dan setia menyokong suaminya.

(Visited 372 times, 1 visits today)