“Lima Kereta Berturut. Saya Pertama Langgar. Tapi Rahmat Allah Malam Ini Saya Jumpa Seorang India, Tiyahgah Raja”

IPOH, 29 Sept — Pendakwah bebas Ebit Lew bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki India yang membantunya ketika terlibat kemalangan di lebuhraya awal pagi tadi.


Kejadian 2 pagi ketika beliau bersama keluarga pulang dari Pulang Pinang terlibat kemalangan selepas terlanggar sebuah kenderaan satu kilometer sebelum simpang Ipoh Selatan.

“Lima kereta berturut. Saya pertama langgar. Tapi rahmat Allah malam ini saya jumpa seorang India, Tiyahgah Raja. Baik sangat orangnya.

“Lepas angkat alihkan dan pegang drive shaft, beliau menawarkan saya naik keretanya sampai hantar balik rumah,” coretnya di Instagram hari ini.

Menceritakan lanjut pertemuan itu, Ebit terharu dengan kebaikan pemuda itu yang membantu semua mangsa kemalangan termasuk dirinya.

Tambahnya, Tiyahgah sering membantu mangsa kemalangan selama beliau bergelar pemandu.

“Abang ini suka tolong orang. 30 tahun jadi driver selalu tolong orang. Dari mula sampai habis walau keretanya boleh berjalan. Dia sibuk tolong semua orang,” katanya

Sebaik tiba di rumah, kedua-dua mereka berpelukan. Ebit menyatakan kasih sayangnya kepada Raja walaupun beliau berlainan bangsa dan agama.

“Rasa sayang dan terhutang budi padanya,” luah Ebit.

Terharu melihat keperibadian Ebit yang menasihatinya, Raja menyatakan ini kali pertama beliau memeluk seorang yang bergelar ustaz.

“Bertuah dapat jumpa ustaz. Ulangkali dia ucap begitu. Katanya dia selalu niat tolong orang. Tapi saya tak pernah jumpa seseorang seperti ustaz,” catat Ebit, menceritakan di akhir pertemuan beliau bersama Raja.