“Macam Mana Boleh Masuk Dalam Laut Bang?” Ramai Pelik Kereta Boleh Masuk Laut, Rupanya Ini Kisah Sebenar

SEBUAH pacuan empat roda yang dihanyutkan dan terapung di Pantai Batu Laut di Banting, semalam, menarik perhatian pengunjung yang beriadah di pantai itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun tiada laporan polis diterima mengenainya.

“Setakat ini tiada laporan dibuat. Semakan mendapati pemandu yang juga pemilik kenderaan itu membawa pacuan empat roda berkenaan ke pantai melalui tempat bot dan perahu layar yang terdapat di situ.

“Saya dimaklumkan pemandu pacuan empat roda yang juga seorang lelaki tempatan menyangka pantai itu boleh dilalui berikutan keadaan air laut surut.

“Bagaimanapun apabila tiba di satu kawasan, tayar kenderaan pacuan empat roda itu terbenam dan pemilik kenderaan itu meminta tolong orang awam yang berada di kawasan itu untuk menarik keluar kenderaan berkenaan dari kawasan itu,” katanya.

Azizan berkata, kenderaan itu bagaimanapun terpaksa ditinggalkan berikutan air laut mulai pasang.

“Polis sedang mengesan pemandu dan pemilik kenderaan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut lanjut,” katanya.

Video berdurasi 12 saat itu tular di media sosial dengan memaparkan kenderaan itu dalam keadaan terapung hingga menjadi perhatian pengunjung di situ.