“Malam Itu Dia Tidak Tidur, Dia Hendak Main, Rupanya, Itu Petanda Dia Hendak Main Dengan Mama Dia Sebab Esok Dia Dah Tiada”

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 5 bulan meninggal dunia dipercayai sewaktu berada bersama pengasuhnya di sebuah taska di Bukit Jalil, ibu negara pada Khamis.

Menurut ibu bayi terbabit, Siti Madihah Muhammad, dia menerima panggilan dari sebuah klinik di pangsapurinya kira kira jam 4.45 petang semalam memaklumkan bayinya, Tengku Aamina Tengku Mohd Ikhwan, lima bulan sedang menerima rawatan di situ.

“Dari pagi (Khamis) itu, masa hendak bersiap untuk ke tempat kerja dia (mangsa) bangun dan bermain dengan kakak dia. Pukul 6.30 pagi saya letak dalam kereta sebelum hantar ke pengasuh, dia dalam keadaan sihat.

“Saya sempat cium dia, jadi saya pergi kerja semalam saya balik lewat, sebab saya ada mesyuarat di tempat kerja dalam pukul 4.00 petang baru balik rumah.

“Dalam pukul 4.45 petang, saya dapat panggilan dari klinik di bawah rumah mengatakan Tengku Aamina ada di klinik dan minta saya turun dengan segera,” katanya kepada wartawan petang tadi.

Setibanya di klinik berkenaan, jelas Siti Madihah, dia mendapati bayinya itu sudah meninggal dunia.

Malah pihak pengasuh turut hadir ke klinik berkenaan dan memohon maaf atas apa yang berlaku kepada anaknya itu.

Ujar Siti Madihah, pengasuh memaklumkan anaknya berada dalam keadaan aktif sekitar jam 2.00 petang.

“Pemilik taska itu datang meminta maaf, dia jelaskan bahawa pengasuh dia jaga elok anak saya. Katanya, dalam pukul 2.00 petang Aamina masih aktif.

“Kemudian dia (mangsa) tidur dalam pukul 3.00 petang, pengasuh perasan dia tidur terlangkup. Saya pelik, Aamina memang boleh meniarap dan boleh pusing balik, dia pandai angkat muka tapi macam mana muka dia terlangkup,” katanya ketika ditemui di sini.

Jenazah Aamina dihantar ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat pada hari yang sama sebelum dikebumikan pada pukul 4.00 petang tadi.

Siti Madihah bagaimanapun redha dengan pemergian anaknya itu walaupun punca kematian Aamina belum terjawab.

Beliau kesal kejadian menimpa bayinya itu meskipun baru seminggu menghantar dua anaknya termasuk mangsa di taska berkenaan.

Jelasnya Siti Madihah, malam sebelum kejadian Aamina dikatakan enggan tidur selepas menyusu.

“Malam sebelum kejadian, dia (Aamina) tidak tidur selalunya dia menyusu dan akan tidur.

“Malam itu dia tidak tidur, dia hendak main, dia masih bangun meniarap hendak main dengan saya. Saya tidak fikir apa-apa, saya ingat mungkin dah tidur lama sebelum itu.

“Rupanya, itu petanda dia hendak main dengan Mama dia sebab esok dia dah tiada, saya redha Aamina pergi,” ujarnya lagi.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bukit Jalil pada Khamis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, dalam kenyataannya mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit dan polis sedang menyiasat punca sebenar kematian.