Malas Dah Hidup Bersama Suami Tua, Isteri Nekad Racun Dan Jerut Leher Suami

New Delhi: Tidak mahu terus hidup bersuamikan lelaki tua, seorang wanita di India tergamak membunuh suaminya yang berusia 50 tahun.

Bagi menutup perbuatannya, suspek yang berusia 30 tahun mereka cerita suaminya itu membunuh diri kerana mengalami tekanan perasaan.

Polis New Delhi bagaimanapun menahan wanita itu pada Khamis selepas menerima laporan mengenai kematian lelaki berkenaan, lapor portal Indiatoday.

Ia selepas wanita terbabit kerap menukar cerita berhubung kematian suaminya itu ketika disoal siasat polis. Akhirnya, suspek mengakui membunuh suaminya dengan dibantu teman lelaki yang baru dikenali.

Wanita itu memberi alasan berbuat demikian kerana jarak usia yang terlalu jauh antara dia dan suaminya iaitu 20 tahun.

Malah, wanita terbabit mengakui sudah merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya itu. Dalam pada itu, siasatan pihak berkuasa mendapati, ketika kejadian, wanita itu mencampurkan racun ke dalam makanan.

Dia kemudian menghidangkan makanan itu kepada suaminya dan selepas makan, lelaki itu pening kepala.

Melihat keadaan suaminya yang sudah lemah, suspek bersama teman lelakinya mengambil pakaian terpakai dan menjerut leher lelaki itu sehingga mangsa meninggal dunia.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Brahm Shakti di Budh Vihar. Ketika di hospital, wanita itu memberitahu bahawa suaminya itu mungkin keracunan makanan.

Bagaimanapun, selepas pihak hospital menyatakan ada kesan jerutan pada leher mangsa, wanita itu berpura-pura menangis dan memberitahu suaminya membunuh diri.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   'Inilah Kehidupan Tidak Mengapa' Wanita Ditembak Tapi Tersenyum, Netizen Agak Ia Hanya Lakonan Sahaja