Mangsa Langgar Warga Vietnam Memikirkan Masa Depannya Apabila Kaki Kiri Terpaksa Dipotong Berikutan Tulangnya Hancur

KAKI kiri pemandu lori sebuah syarikat pembersihan yang dirempuh kereta dipandu wanita warga Vietnam dalam kemalangan di Jalan Anson, Georgetown, semalam, terpaksa dipotong.

Difahamkan, kaki kiri mangsa terpaksa dipotong daripada bahagian peha berikutan tulangnya hancur.

Mangsa, Mukhtar Bahari, 62, kini, dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad biasa selepas dirawat di zon merah Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.

Dalam kemalangan 6.40 pagi semalam, Perodua Axia merah dipandu wanita Vietnam merempuh mangsa yang ketika itu sedang mencuci bahagian belakang lori yang diparkir di bahu jalan.

Pemandu kereta terbabit kemudian menghilangkan diri, namun dia dikesan ketika di sebuah hospital swasta kerana mendapatkan rawatan akibat cedera di kepala dan dada.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagran berkata, polis akan menahan pemandu kereta warga Vietnam terbabit sejurus dia dibenarkan keluar hospital.

“Wanita itu kini masih dirawat di hospital dan kita akan menahannya selepas dibenarkan keluar untuk merekod keterangan.

“Setakat ini, siasatan awal kita mendapati wanita terbabit tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Menurutnya, semakan juga mendapati wanita warga Vietnam itu mempunyai lesen memandu sah yang dikeluarkan di negaranya, namun polis akan membuat semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Artikel Berkaitan   Tunaikan Hajat Anda Untuk Pergi Haji Dengan Hanya Daftar Akaun Tabung Haji Melalui Maybank2u