Masih Umur Remaja Bermula Dengan Muntah-Muntah, Gadis Derita Diserang Strok Secara Tiba-Tiba

BALING: Bermula dengan sakit kepala dan sering muntah, seorang gadis kini hanya mampu terlantar di atas katil akibat strok sejak lima tahun lalu di rumahnya di Kampung Sungai Tembak, Baling, Kedah.


Nurul Izati Ahmad, 20, dilahirkan dalam keadaan sihat dan mampu ke sekolah seperti remaja lain sebelum ini, namun pada usianya 15 tahun, dia kerap sakit sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Ibunya, Noraini Ahmad, 55, berkata pada kali terakhir dia mengadu sakit kepala dan muntah, mereka membawanya ke hospital dan mendapatkan rawatan selama tiga hari sebelum dia diserang strok.

Katanya, Nurul Izati kemudian tidak sedarkan diri dan koma selama dua bulan.

Dia berkata, Nurul Izati yang merupakan anak keempat daripada enam beradik kemudian mula sedar namun disahkan mengalami masalah saluran otak tersumbat dan masih diserang sakit kepada sehingga kini.

Noraini berkata, anaknya menerima bantuan daripada pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun tidak mencukupi untuk menampung keperluannya.

“Dia bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang satu tin berharga RM90 dan hanya mampu bertahan selama tiga hari.

“Keperluan untuk beli susu dan lampin pakai buang sahaja mencecah RM1,500 sebulan. Dengan pendapatan suami, Ahmad Ismail, 58, sebagai penoreh getah, kami memang tidak berkemampuan,” katanya.

Ahmad berkata, selain itu, mereka juga tidak mempunyai wang tunai RM2,000 untuk menyelenggara mesin bantuan pernafasan Nurul Izati.

“Dengan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan, pak cik tak dapat menoreh sangat. Pendapatan amat terjejas. Tak ada duit untuk selenggara mesin itu.

“Kalau ada pilihan, pak cik sanggup buat kerja lain walaupun di luar kawasan. Tapi tak boleh, sebab tak boleh tinggalkan rumah untuk jangka masa lama kerana mak cik perlu bantuan untuk uruskan anak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152040398508 atas nama Noraini Ahmad atau menghubunginya di talian 013-4886708.

kredit astro awani