Mayat Terdampar Di Tepi Pantai Undang Tanda Tanya Masyarakat, Tubuh Hampir Reput Ditemui Tanpa Dokumen

MARANG: Mayat hampir reput dengan bahagian anggota badan tidak lengkap dijumpai terdampar di pesisir pantai Kampung Pasir Putih, Marang.

Mayat tanpa identiti itu dikesan pada jam 3.30 petang Ahad oleh penduduk kampung yang bertindak memaklumkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira 10-15 hari dan dihanyutkan ombak sehingga ke pantai.

Jelasnya, identiti mayat tersebut tidak dikenal pasti dan hasil siasatan awal juga tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Mayat tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mohd Zain berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 09-6182222.

Artikel Berkaitan   Cara Mengganti Solat yang Ditinggalkan Dengan Sengaja Puluhan Tahun