“Memang Benar Anak Dan Menantu Saya Dibawa Ke Balai Atas Kesalahan Melanggar PKPP”- Mukriz Mahathir

PUTRAJAYA, 1 Mac -- Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab pertanyaan media selepas mengadakan perjumpaan bersama Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA


BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan anak perempuan dan menantunya antara 27 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail dekat Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Mukriz berkata, anak dan menantunya itu dikenakan kompaun RM1,000 mengikut kesalahan dilakukan mereka selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Memang benar anak dan menantu saya dibawa ke balai (polis) bersama dengan 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar ‘curfew’ PKPP.

“Mengikut undang-undang berkaitan mereka semua dikompaun RM1,000 dan semua sudah bayar (kompaun) termasuk anak dan menantu saya,” katanya pada sidang media selepas program sepetang bersama Tun Mahathir Mohamad di Pusat Bandar Felda Besout 3, Slim River, hari ini.

Mukhriz berkata, anak dan menantunya wajar dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Saya sudah pesan kepada semua ahli keluarga supaya tidak melanggar SOP ketika musim PKPP ini, memanglah rasa kecewa (tetapi) perlanggaran itu tetap berlaku.

“Kita sudah beri teguran dan memang patutlah dia kena kompaun yang dikenakan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Mukhriz turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada PDRM khususnya PDRM Kuala Lumpur yang tegas dan mengambil tindakan secara adil dan saksama dalam pematuhan PKPP tanpa berlaku pilih kasih kepada mana-mana pihak.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anak kenamaan (VIP) antara pengunjung ditahan berada di premis berkenaan yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan anak perempuan seorang kenamaan ditahan di sebuah pub kerana melanggar PKPP.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Bagi Menghargai Jasa “Bantal Busuk”, Wanita Ini Jadikan Bantal Berkenaan Tetamu VIP Sempena Majlis Perkahwinan