“Memang Saya Takkan Ambil Balik Kasut Emas Itu. Saya Akan Lupakan Terus,”

WALAUPUN sudah berpindah milik, bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus mahu terus melupakan barangan kesayangannya dan tidak bercadang mahu membeli kembali walaupun sudah memiliki pekerjaan tetap atau sumber kewangan kukuh nanti.

Hal ini bermakna, pembida kepada pingat, jersi dan trofi Kasut Emas tidak perlu bimbang dan boleh terus menyimpan barangan terbabit selamanya apabila bekas pemain itu ‘merelakan’ ia berpindah milik.

Khalid berkata, dia mengharapkan pemilik baharu boleh menjaga barangan terbabit dengan cermat kerana cukup sukar diperoleh selain mempunyai nilai tersendiri.

“Rasanya tak (ambil semula Kasut Emas). Kalau terpaksa lelong, saya anggap mungkin tiada rezeki untuk saya simpan. Cuma saya akan pastikan kepada sesiapa yang memilikinya, jagalah ia sebaik mungkin.

“Memang saya takkan ambil balik Kasut Emas itu. Saya akan lupakan terus,” katanya.

Sebelum itu, Khalid jelas tidak berganjak dengan keputusannya apabila tetap mahu ‘melepaskan’ trofi Kasut Emas yang dimenangi bersama Perak, 18 tahun lalu. Sekalipun beroleh keputusan positif menerusi pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Putrajaya kelmarin, bekas pemain berusia 43 tahun itu menegaskan ia tetap perlu dilakukan demi kelangsungan hidupnya.

Bagaimanapun, hala tuju Kasut Emas itu masih menjadi ‘misteri’ dengan Khalid dilihat cuba menunggu tawaran terbaik untuk anugerah berprestij itu sehingga hujung minggu ini.

“Sudah ada bidaan dari Sabah dan Pantai Timur. Kalau tiada mana-mana pihak yang datang dalam minggu ini, contohnya jika Perak mahu kasut ini untuk buat muzium, ambillah tetapi pada nilai yang sewajarnya.

“Apa sangatlah Kasut Emas itu, buruk tetapi nilainya 18 tahun. Pada 2002, saya terpaksa bersaing dengan import gred A ketika itu. Jadi, terpulanglah kepada anda bagaimana untuk menilai kasut itu. Kalau tiada, saya hantar ke Sabah,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Engkau Yang Cari Pasal Berenti Tengah Jalan, Lepas Kau Tumbuk Orang Lain”

Setakat ini, difahamkan bidaan Kasut Emas itu sudah mencecah RM50,000 walaupun pada mulanya ia dibida pada harga RM10,500.

kredit harian metro