KUALA LUMPUR, 26 Julai — Tertarik dengan gaya tulisan pelukis Leonardo da Vinci, seorang pelajar tingkatan lima mampu membaca dan menulis dalam keadaan terbalik.
Wan Muhammad Izmin Wan Mhd Noor, 17, berkata minatnya itu tercetus sewaktu membaca buku mengenai pelukis itu di pusat sumber sekolah, lapor Harian Metro.
Menganggap kelebihan sebagai ‘anugerah Allah’, pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Raja Abdullah, di sini mula mengasah bakat ketika usia 15 tahun.
“Ketika itu, saya teruja dan berfikir bagaimana beliau boleh melakukannya. Bertitik tolak dari situ, saya cuba lakukan sendiri,” katanya.
“Pada mulanya, ia tidak menjadi seperti diharapkan tetapi saya tak putus asa dan terus berlatih sebelum dapat menguasainya dalam tempoh dua bulan.”
Semua pihak termasuk keluarga tidak mengetahui kemahiran yang dimilikinya sehingga video klip dia menulis satu tugasan viral di media sosial, kata Izmin.
Katanya dia tidak menyangka gurunya merakam ketika dia menulis karangan dalam keadaan terbalik sebelum memuat naik ke laman sosial dan menular.