Mencecah RM40 Sekilo, Inilah Khasiat Buah Dabai Yang Ramai Tidak Tahu

SARIKEI: Harga dabai yang mencecah RM40 sekilogram ketika bekalan buah itu kurang di pasaran mendorong ramai peniaga menanamnya untuk meraih keuntungan.


Dikenali juga dengan nama Zaitun Sarawak atau dalam bahasa saintifiknya `Canarium Odonthopyllum’, buah sebesar ibu jari yang rasanya yang masam, manis dan berlemak ini sentiasa menjadi buruan penggemarnya.

Walaupun hanya berbuah pada musim tertentu, dabai yang boleh didapati dengan banyak di kawasan tengah Sarawak mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Penanam dabai, Jenny Chan, 30, dari Jalan Meruton di sini, mengakui permintaan orang ramai ke atas dabai sentiasa meningkat sehingga akhir musim.

“Ada sanggup datang ke kebun kami untuk mendapatkan harga yang lebih murah. Ini kerana kebun kami yang letaknya tidak jauh dari jalan utama mudah dikunjungi. Kami juga lebih suka menjualnya terus dan tidak secara borong,” katanya ketika ditemui BH Plus, di sini.

Jenny berkata, pada peringkat awal, dia menanam dabai hanya sekadar mengisi masa lapang namun mula serius selepas tanamannya itu membuahkan hasil di luar jangkaan.

Katanya, sebatang pokok mampu mengeluarkan 30 hingga 80 kilogram bergantung kepada tempoh matang.

“Pokok dabai tumbuh subur di kawasan berbukit yang bertanah lembap dan bebas ancaman air masin. Ia boleh membesar dengan ketinggian maksimum sembilan hingga 15 meter dan mempunyai banyak cabang. Pokok ini juga tumbuh subur di kawasan lapang yang mempunyai pancaran matahari yang kuat dan boleh ditanam dengan biji benih.

“Ia mudah dijaga berbanding tanaman lain. Kita perlu menumpukan sedikit perhatian ketika proses penanaman di peringkat awal. Pohon yang masih muda agak sensitif dan mudah terdedah penyakit tanaman.

“Hanya sedikit pokok didapati bermasalah, mungkin kerana benih tidak subur, serangan penyakit dan kedudukan pokok yang tidak strategik,” katanya.

Peniaga, Ahmad Julaihi, 40, pula berkata, pokok dabai yang sudah berbuah juga perlu dijaga rapi bagi mengelak ancaman musuh tanaman seperti burung dan tupai.

Katanya, kualiti dabai amat penting kerana boleh mempengaruhi harganya selain mempunyai rasa yang sedap dan enak.

“Dabai perlu mesti dijual dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas dipetik. Buah ini akan mengeras, mengecut dan tidak boleh dimakan jika dibiarkan terlalu lama,” katanya.

Ahmat berkata, ramai tidak tahu, pokok dabai ada jantina yang hanya dapat diketahui selepas ia berusia lima tahun.

“Pokok jantan mempunyai bunga yang lebih kecil dan jarang berbuah. Jika berbuah sekalipun, kebanyakan buahnya kecil. Namun bagi pokok betina pula, bunganya lebih banyak dan besar. Buahnya pula lebih lebat.

“Untuk menambahkan perisa, dabai yang sudah masak boleh ditaburkan dengan sedikit garam atau gula sebelum dimakan. Ada yang gemar mencecahnya bersama kicap manis. Lebih sedap jika dimakan bersama nasi atau sagu,” katanya.

INFO

– Buah dabai juga dikenali sebagai Engkalak.

– Dijual pada harga RM10-RM40 sekilogram.

– Banyak terdapat di kawasan tengah Sarawak seperti Song Kapit, Belaga, Pakan, Julau, Sarikei dan Sibu.

– Buah dabai tidak boleh terus dimakan, sebaliknya perlu direndam ke dalam air suam terlebih dahulu selama 10-15 minit.

– Pokok dabai ada jantan dan betinanya.

– Penyelidikan saintifik ke atas dabai mendapati, selain mengandungi sumber protein, tenaga dan mineral seperti potassium dan kalsium, buah ini juga kaya dengan kandungan antioksida yang berkhasiat untuk tubuh badan.

– Berpotensi dijadikan bahan utama dalam pengeluaran produk makanan serta kosmetik.

Sumber: Berita Harian