Mengigil Bapa Lihat Anaknya Sedang Berada Dalam Mulut Buaya

KANAK-KANAK lelaki disambar buaya dalam kejadian di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Mubibbah Hujung, Kinabatangan, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa, Asmin Abdullah, 8, dilaporkan mandi dan menurunkan perahu di sungai itu bersama ayahnya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, mangsa berada di belakang ketika bapanya menurunkan perahu.

“Tiba-tiba ayah mangsa terdengar bunyi kocakan air dan apabila berpaling, dia terkejut melihat anaknya disambar reptilia itu lalu hilang selepas disyaki ditarik ke dalam air.

“Ayah mangsa cuba menyelamatkan anaknya, namun sukar dan sejam kemudian ayah mangsa melihat anaknya timbul dan berada di mulut buaya.

“Mereka kemudiannya cuba mengambil dan mendekati reptilia itu, namun haiwan itu membawa mangsa tenggelam semula ke dalam air,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian dilaporkan kepada pasukan penyelamat sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Katanya, sehingga 5.30 petang hari ini, mangsa belum ditemui dan SAR ditangguhkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan akan disambung semula pada 8 pagi esok.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Emak Murid Reka Cerita Salahkan Guru Guru Nafi Tampar Murid, Cctv Sebagai Bukti