“Mereka Menampar, Melempar Bayi Ke Tilam, Kemudian Menariknya Semula Sehingga Muka Bayi Itu Terkena Pada Besi Katil”

LULUH hati seorang ibu muda apabila bayinya berusia 20 bulan didera empat rakan serumahnya sehingga meninggal dunia dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Hatib, Semporna, semalam.

Bayi lelaki terbabit disahkan meninggal dunia pada 6.45 petang akibat ditampar, dipijak dan dilempar ke tilam sehingga terkena pada besi katil.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat sebelum empat remaja perempuan warga asing berusia antara 16 hingga 19 tahun itu ditahan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, menurut laporan, ibu bayi berkenaan membawa anaknya yang dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Unit Kecemasan Hospital Semporna dan hasil pemeriksaan terdapat kesan lebam pada bahagian pipi kanan bayi terbabit.

Katanya, rawatan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan, namun tiada tindak balas positif dan keadaan bayi selepas beberapa jam semakin kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.

EMPAT remaja perempuan warga asing ditahan polis berhubung kematian bayi lelaki dipercayai akibat didera di Taman Hatib, Semporna, semalam. FOTO ihsan polis.

“Menurut saksi kejadian, dua suspek bertindak menampar, melempar bayi itu ke tilam, kemudian menariknya semula sehingga muka bayi itu terkena pada besi katil manakala seorang lagi suspek memijak belakang bayi terbabit.

“Apabila ibu bayi itu balik ke tempat kejadian, dia mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan pucat serta tidak bernafas sebelum membawanya ke hospital untuk dirawat.

“Hasil penelitian terdapat kesan lebam di bahagian pipi kanan dan betis kiri bayinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sabarudin berkata, siasatan lanjut mendapati, mangsa dijaga sepenuhnya oleh ibunya dan ketika kejadian mangsa ditinggalkan di rumah bersama empat rakan wanita itu.

Beliau berkata, empat suspek adalah rakan kepada ibu mangsa dan menumpang tinggal bersama mereka di rumah berkenaan.

Katanya, semua suspek ditahan pada 9.30 malam hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

(Visited 948 times, 1 visits today)