Misteri Penyodok Tanah Di Dalam Hutan Terungkai Apabila Seorang Pekerja Pos Didakwa Menanam Sejumlah Surat

THE HAGUE – Polis Belanda menjumpai beribu-ribu pucuk surat yang ditanam di sebuah hutan oleh seorang pekerja pos, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Menurut laporan, seorang pejalan kaki dekat bandar Laren memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuan satu alat penyodok dan keadaan permukaan tanah yang menimbun.

Polis menjumpai satu ‘jumlah signifikan’ surat di dalam lapan lubang yang masing-masing dianggarkan sedalam satu meter. Sebilangan surat itu dipercayai ditanam sejak beberapa minggu lalu.

“Sebahagian besarnya adalah bil, majalah dan surat pengiklanan,” kata Margot van de Coterlet, seorang jurucakap bagi syarikat pos Sandd kepada agensi berita AFP.

Syarikat berkenaan tidak mendedahkan identiti pekerja pos itu.

“Malangnya, ia adalah seseorang yang tidak menghormati standard pekerjaan kami. Kami kini dalam proses mengambil langkah-langkah sewajarnya.”

Jurucakap itu juga tidak mendedahkan motif pekerja pos yang menanam surat-surat tersebut.

Surat yang berada dalam keadaan baik dikirim semula ke destinasi asal, walaupun lewat beberapa minggu.

“Bagi surat-surat yang sudah reput, ia akan dimusnahkan selepas kami berbincang dengan pihak pengirim,” katanya. – AFP

Artikel Berkaitan   Kanak-Kanak Mati Digilis Treler, Ibu Saudara Tidak Sangka, Pemandu Treler Pula Tidak Berhenti Lalu Melarikan Diri