Model Menangis Selepas Dijatuh Hukuman Penjara Gara-Gara Memandu Lawan Arus

MODEL sambilan dihukum penjara lima tahun dan didenda sebanyak RM18,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini kerana memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang dalam kemalangan tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ng Pei Ven, 22, dilihat menangis sambil memandang ibunya ketika Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Mahkamah turut membuat keputusan membatalkan lesen memandu percubaan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, gadis berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala tertuduh Lim Boon Beng.

Selepas hukuman dijatuhkan, Boon Beng meminta penangguhan pelaksanaan hukuman untuk anak guamnya bagi membuat rayuan. Mahkamah bersetuju tetapi tertuduh diminta membayar ikat jamin sebanyak RM5,000.

Dalam kejadian pada 14 Mac 2017, Mohamad Fandi Rosli, 26, maut selepas kereta Perodua Kelisa dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu gadis berkenaan secara melawan arus.

Kemalangan pada 7.50 pagi itu berlaku di Kilometer 134 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Permatang Pauh. Ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah. Pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaannya dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Kekuatannya Lebih Hebat, Virus Mutasi 'Super Spreader' Telah Dikesan Di Indonesia