Kuala Lumpur: “Saya menyesal kerana mengikut kata hati dan tamak untuk mendapat gaji lebih selain mengharapkan kekayaan dalam masa singkat.
“Sudahnya, saya kini menanggung kerugian kerana terpaksa mengeluarkan semua wang simpanan untuk menggantikan wang orang ramai yang diberikan kepada ejen utama,” kata Mohd Faidzol Ismail, 44, ahli perniagaan yang mendakwa ditipu oleh ejen mencari pemetik buah di Australia, awal Januari lalu.
Menurut Mohd Faidzol, dia kini sudah serik kerana sudah tiada apa lagi yang tinggal melainkan terpaksa berdepan dengan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan membabit kerugian lebih RM600,000.
Menceritakan bagaimana dia terjebak dengan penipuan berkenaan, Mohd Faidzol berkata, pada awalnya dia seperti orang lain ingin mencuba pekerjaan baru sebagai pemetik epal di sebuah ladang di Melbourne, Australia semata-mata mahu mendapatkan gaji lebih untuk memberi kesenangan kepada keluarga.
Katanya, menerusi iklan yang tertera di sebuah akhbar tempatan (bukan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd), dia kemudian menghubungi ejen berkenaan yang menawarkan pakej ‘selamat’ iaitu semua pekerja menggunakan agensi terbabit akan mendapat permit kerja berbanding mereka yang bekerja secara haram di negara itu.
Sumber: Hmetro