Bantuan pelbagai agensi jadikan Mohd Jaafar usahawan tani berjaya
TANJONG KARANG: Pengalaman kedai terbakar hingga semua peralatan, barang jualan, modal serta pinjaman RM20,000 turut musnah tidak mengikis hasrat Mohd Jaafar Juman menjadi usahawan tani berjaya.
Mohd Jaafar, 56, yang memulakan perniagaan berasaskan tani dengan menjual air tebu dan hasil pertanian dari kawasannya pada 2002, adalah contoh kejayaan hasil bantuan Kerajaan Persekutuan menaikkan taraf rakyat khususnya yang berada di luar bandar.
Beliau yang terpaksa memulakan perniagaan semula selepas semua barang niaga dan modalnya musnah dalam kebakaran rumahnya pada 2011, bernasib baik kerana dibantu pelbagai agensi kerajaan, termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang.
“Saya terpaksa memulakan semula perniagaan dengan bantuan modal daripada orang kampung dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebelum dibantu Tan Sri Noh Omar yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Bantuan AZAM Tani
“Selain itu, saya mendapat bantuan menerusi AZAM Tani dan kedua-dua pihak ini membimbing saya untuk menguruskan perniagaan dengan lebih cekap,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Parit Satu Sungai Sireh, di sini semalam.
Mohd Jaafar adalah salah seorang usahawan dan individu berjaya hasil Program Transformasi Negara (NTP) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kisah beliau turut dikongsi Perdana Menteri ketika pembentangan Laporan Tahunan NTP di Shah Alam, malam kelmarin.
Mohd Jaafar berkata, beliau sebenarnya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas meninggalkan pekerjaannya dalam bidang luncur air di Putrajaya pada 2002 disebabkan faktor usia.
Pendapatan RM6,000 seminggu
“Ketika memulakan semula perniagaan, pendapatan saya sekitar RM1,000 hingga RM3,000 seminggu sebelum meningkat menjadi RM6,000 seminggu.
“Bermula dengan berniaga kecil-kecilan dengan menjual air tebu dan pisang, saya dikunjungi pelanggan yang mahukan bekalan pisang, sebelum saya kemudian masuk ke dalam kampung dan mencari hasil tani,” katanya.
Ditanya mengenai pengiktirafan yang diberikan Najib, malam kelmarin, Mohd Jaafar berkata, beliau terharu kerana ada lagi individu lain yang mencapai kejayaan lebih baik daripadanya.
Pesanannya kepada usahawan yang baru mengorak langkah, untuk tekun bekerja, jujur dan amanah kepada diri sendiri untuk mencapai kejayaan – Berita Harian