Muncul Di Liputan Al-Jazeera Dan Buat Tohmahan Rasis Kepada Malaysia, Md Rayhan Kabir Diburu Imigresen

WARGA Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang muncul dalam laporan 101 East Al Jazeera dengan pelbagai tohmahan dan dakwaan palsu mendakwa wujud diskriminasi dalam cara Malaysia mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing, dikatakan berada di negara ini sejak 2014 dan memiliki permit kerja dalam sektor pembinaan.

Sebelum ini tular profil media sosial milik lelaki berkenaan yang turut tertera pekerjaannya sebagai Ketua Pemasaran bagi sebuah syarikat produksi.

Syarikat produksi itu melalui satu kenyataan semalam bagaimanapun menafikan warga Bangladesh itu adalah kakitangan mereka.

Md Rayhan kini diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kesalahan melanggar atau gagal memenuhi syarat pas atau permit mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk rekod, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan negara Bangladesh sebagai satu salah negara sumber tenaga hanya dibenarkan untuk bekerja di sektor perkilangan, pembinaan, pertanian, perladangan, perlombongan serta pengkuarian dan perkhidmatan.

Bagi sektor perkhidmatan, KDN menyenaraikan tukang masak di restoran, pencucian dan pembersihan, bekerja di pulau peranginan, hotel, spa dan refleksologi, kedi golf dan pengendalian kargo di pelabuhan dan lapangan terbang.

Sektor pembikinan atau produksi filem bagaimanapun tidak disenaraikan sebagai salah satu sektor yang membenarkan warga Bangladesh diambil bekerja.

Sumber berkata, permit kerja dalam sektor pembinaan yang dimiliki Md Rayhan kini memasuki tahun ketiga di negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan. Difahamkan, permit kerja bagi pekerja asing boleh dilanjutkan sehingga 13 tahun namun perlu diperbaharui setiap tahun.

Jabatan Imigresen Malaysia hari ini meminta kerjasama orang awam untuk menjejak Md Rayhan Kabir, berusia 25 tahun dan dikesan di alamat terakhir di Sirhan Legacy, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

kredit harian metro