SELALUNYA protokol perlu diikuti, namun ia boleh diubah jika timbul perkara diluar jangkaan atau tidak mengganggu perjalanan sesuatu acara majlis itu.
Perkongsian Pegawai Kokurikulum Kanan UiTM Kapten (B) Ujud Padil di Facebook mengenai situasi tidak disangka-sangka ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor menarik perhatian pengguna Facebook.
Menurut Ujud, beberapa perkara dalam aturcara majlis itu terpaksa diubah sedikit selepas seorang graduan tidak dapat hadir pada masa yang ditetapkan pada majlis tersebut.
“Semasa sidang ke-6, Istiadat Konvokesyen Ke-91 UiTM sedang berlangsung, tiba-tiba terima berita daripada salah seorang pegawai istiadat, Puan Siti.
“Dia beritahu seorang graduan bernama Nur masih dalam perjalanan untuk ke majlis konvokesyennya kerana baru sahaja selesai menguruskan pengebvmian penjaganya yang juga bapa saudara graduan itu.
Nur Ietrah Shahila Shahrum penerima skrol terakhir Istiadat Konvokesyen ke-91 UiTM.
“Nur dijangka tiba lebih kurang pukul 4 petang. Ketika itu terus terfikir, sebagai pegawai istiadat apa yang boleh saya bantu bagi memastikan perjalanan majlis itu berjalan lancar,” kongsinya dalam satu posting pada Rabu.
Jelas Ujud, dia terus bertanyakan kepada pasukan pegawai istiadat konvokesyen mengenai situasi berkenaan.
“Jawapannya, memang boleh dibantu jika graduan itu tiba sebelum nama terakhir dipanggil naik ke pentas. Ketika waktu rehat dan persembahan berlangsung saya cuba minta dengan Naza yang mengendalikan bahagian persembahan supaya tambah satu lagi lagu.
“Dia ada tanya kenapa dan saya terus menceritakan apa yang berlaku sebelum dia bersetuju untuk memainkan tambahan satu lagu serta memaklumkan kepada pengacara majlis.
TERDENGAR DARI PEMBESAR SUARA MENYEBUT ANUGERAH NAIB CANSELOR. KETIKA ITULAH RAMAI PETUGAS MENGESAT AIR MATA.
UJUD NOOR
PEGAWAI ISTIADAT KONVOKESYEN
“Dalam hati terus berdoa agar Nur sempat tiba. Dan masing-masing dalam grup WhatsApp turut mengharapkan graduan itu cepat sampai.
“Ketika pasukan membawa kumpulan pelajar terakhir masuk, tiba-tiba mata terpandang ke arah cermin pintu tepi dewan sebuah kereta diiringi kenderaan peronda,” tulisnya.
Sebaik sahaja ternampak Nur, pasukan yang mengendalikan susunan graduan pada majlis itu terus menariknya dan menyarungkan jubah.
“Kelihatan dia menangis, sebak. Selepas itu namanya selaku graduan terakhir pada istiadat konvokensyen kali ini dipanggil.
Sebahagian daripada komen-komen pelayar Facebook terhadap posting Ujud.
“Dia melangkah longlai, lemah menaiki tangga sambil air matanya mengalir laju.
“Saya terdengar dari pembesar suara menyebut ….”dan penerima Anugerah Naib Canselor (ANC)“. Ketika itulah ramai petugas mengesat air mata.
Pegawai dan petugas sidang akhir Istiadat Konvokesyen UiTM Johor.
“Ia sumbangan kecil kami untuk menjadi kenangan selamanya. Tahniah semua…UiTM Johor terbaik,” luah Ujud.
Posting tersebut dikongsi lebih 600 pengguna Facebook ternyata menyentuh hati pembaca dan pelbagai komen kata-kata semangat turut diberikan.
Sumber : Mstar