Nyawa Bapa “Ditarik” Selepas Memberikan Selimutnya Kepada Anaknya. Kejadian Ini Undang Komen Sebak Netizen

BUNG KAN – Kasih bapa sehingga hujung nyawa, itulah yang boleh digambarkan kepada seorang lelaki di wilayah utara timur laut Thailand yang meninggal dunia akibat kesejukan selepas membaluti tubuh anak perempuannya dengan selimut tebal.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di Bung Khong Long kelmarin dan daerah itu antara kawasan yang dilanda cuaca sejuk dengan suhu serendah 9 darjah Celsius.

Mangsa yang dikenali sebagai Prasarn Homethong ditemui mati pada awal pagi oleh anak perempuannya berusia 8 tahun.

“Rumahnya yang terbuka membuatkan udara sejuk mudah masuk ke dalam. Keluarga kecil ini hanya mempunyai tiga helai selimut.

“Sebelum ditemui mati, Prasarn membaluti tubuh anak-anaknya dengan selimut tebal sebelum tidur. Sedangkan dia hanya mengenakan baju nipis dan berseluar pendek,” kata polis.

Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun itu ialah seorang duda yang membesarkan dua anak perempuannya bersendirian sejak mereka masih kecil.

Thailand ketika ini dilanda musim sejuk sehingga Februari tahun depan disebabkan corak cuaca di China.

Suhu paling sejuk dirasai bermula akhir Disember sehingga pertengahan Januari 2020.

Ibu kota Thailand, Bangkok dijangka mencatat suhu antara 15 hingga 17 darjah Celsius sementara sesetengah bahagian di utara negara itu seperti Chiang Rai, Sakhon Kakhon dan Nakhon Phanom, mungkin menyaksikan suhu serendah tujuh hingga sembilan darjah Celsius.

Setakat ini, cuaca sejuk di Thailand meragut tiga nyawa. – Agensi

Artikel Berkaitan   Sambut Hari Keputeraan Yang Ke 36, TMJ Dapat “Wish” Khas Dari Cristiano Ronaldo