Oleh Kerana Memiliki Wajah Yang Berubah Secara Mendadak “Angelina Jolie” Iran Ini Ditahan Polis

TEHERAN – Pihak berkuasa Iran menahan selebriti media sosial atau Instafamous negara itu kerana mengubah penampilannya secara drastik melalui pembedahan kosmetik.

Salah sebuah mahkamah di ibu negara mengeluarkan arahan untuk menahan Sahar Tabar bagi kesalahan berkaitan jenayah budaya dan rasuah moral.

Antara lain, wanita itu turut menghadapi tuduhan termasuk kufur, menjana pendapatan melalui cara yang tidak sesuai dan menggalakkan rasuah dalam kalangan golongan muda.

Difahamkan, Tabar mula menjadi terkenal di laman sosial Instagram tahun lalu selepas memuat naik beberapa imej wajahnya yang diubah melalui pembedahan plastik.

Kebanyakan gambar dan video yang dikongsi bersama 26,800 pengikutnya juga disunting sehingga membuatkan wajahnya kelihatan seperti aktres terkenal Hollywood, Angelina Jolie.

Pembedahan kosmetik sangat popular di republik Islam apabila puluhan ribu pembedahan dilakukan setiap tahun.

Instagram adalah satu-satunya perkhidmatan media sosial utama yang boleh diakses di Iran manakala Facebook, Twitter dan Telegram telah diharamkan secara rasmi. – AFP

Artikel Berkaitan   Nak Masuk Ke Rumah Baru, Jangan Abaikan 5 Perkara Ni, Suami Wajib Buat