DUBLIN, Ireland – Sepasang kekasih memilih untuk berhenti kerja dan berpindah ke sebuah pulau terpencil yang tiada bekalan air panas dan elektrik dekat sini baru-baru ini.
Lesley Kehoe, 27, berhenti kerja di pusat pameran Seamus Heaney manakala Gordon Bond, 29, meninggalkan kerjaya sebagai kakitangan awam kerana muak dengan rutin harian khususnya berulang alik ke tempat kerja mereka di tengah bandar ini.
Mereka terlihat iklan mencari penjaga hostel di Pulau Great Blasket, juga dikenali sebagai An Blascaod Mor, di luar pesisir daerah Kerry, Ireland pada Januari lalu. Pasangan itu kemudian menghantar permohonan untuk jawatan tersebut dan berjaya.
Mereka kini tinggal di pulau itu tanpa bekalan air panas mahupun elektrik malah mungkin terputus hubungan selama beberapa hari jika cuaca buruk melanda.
“Ada turbin udara yang memberi bekalan elektrik kecil kepada satu soket di pulau ini, ianya tidak cukup kuat untuk menggunakan alat elektrik tetapi masih mampu mengecas telefon bimbit saya,” kata Kehoe kepada akhbar Irish Sunday Mirror.
Pulau Great Blasket sebelum ini mempunyai sebilangan penduduk sehingga tahun 1953 apabila kerajaan Ireland membuat keputusan mereka tidak dapat lagi menjamin keselamatan komuniti di pulau itu memandangkan pasukan kecemasan sukar ke sana sekiranya cuaca buruk.
Kawasan terpencil itu menyebabkan Kehoe dan Heaney membeli barang keperluan dari seberang laut menggunakan telefon. Bekalan mereka dihantar menggunakan bot dari pekan Dingle, pekan Bantry dan perkampungan Dunquin.
Tugas mereka di pulau itu dijangka tamat pada Oktober ini tetapi Kehoe sukar membayangkan kembali kepada kehidupan rutin lama khususnya kerja pejabat. – Agensi