“Pasangan Jahanam” Lelaki Ini Meragut Warga Emas 63 Tahun Guna Parang Dibantu Teman Wanitanya

Sepasang kekasih bermotosikal dicekup polis selepas menyamun seorang wanita warga emas dalam kejadian di Jalan Terasek 8, Bangsar di sini pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superitendan Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengahari itu, wanita berusia 63 tahun itu memarkir keretanya di tepi jalan tersebut untuk berjalan ke pejabatnya yang terletak di kawasan berkenaan.

“Mangsa yang baru keluar dari keretanya kemudian dihampiri oleh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dan wanita warganegara tempatan.

“Suspek lelaki tersebut kemudian menarik beg silang mangsa sambil mengacukan parang terhadapnya. Mangsa yang ketakutan telah melepaskan tangannya dan beg tersebut berjaya diambil oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai menambah, kedua-duanya kemudian dikesan oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berdekatan tempat kejadian dan suspek lelaki berusia 30 tahun itu berjaya ditahan bersama beg yang disamun manakala teman wanitanya berjaya melarikan diri.

“Teman wanitanya yang berusia 28 tahun itu berjaya dicekup polis pada keesokan harinya (semalam) di Jalan Tun Sambanthan di sini.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya merupakan pasangan kekasih dan suspek lelaki mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala wanita itu tidak mempunyai rekod. Hasil ujian air kencing lelaki itu juga positif dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, motosikal yang digunakan dalam kes tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Puchong beberapa bulan lalu.

“Mereka kini direman selama enam hari hingga 24 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Lim We Tah di talian 012-9119246 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222,” katanya. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Tersebar Video Pengantin Nikah Di Sebelah Mayat Ayah Pengantin Wanita, Ia Atas Pemintaan Keluarga Disebabkan Hal Ini