Pelancong Di Sini Terkejut Dengan Aksi Berani Mati Penyelam Menjinakkan Haiwan Pemangsa Laut Kedua Paling Bahaya Dalam Dunia

KEPULAUAN TUAMOTU, Polinesia Perancis – Seorang penyelam menonjolkan kemampuannya menenangkan ikan jerung harimau dengan hanya dakapan tangan ketika menyelam di perairan dekat sini baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.

Pierrick Seybald, 34, dari pulau Moorea, Polinesia Perancis langsung tidak gentar berdepan pemangsa laut itu yang dianggap kedua paling bahaya selepas jerung putih, berdasarkan kekerapannya menyerang manusia.

Jerung harimau mendapat namanya disebabkan belang hitam sepanjang badannya, kebiasaannya lebih jelas pada badan jerung muda, manakala jerung dewasa mempunyai hidung tumpul dan sangat terkenal memakan manusia.

Majalah National Geographic memaklumkan spesies itu tidak mempunyai lelangit yang penuh seperti jerung putih, menyebabkan ia jarang melepaskan semula apa pun yang digigitnya termasuklah manusia.

Gambar dan video menakjubkan itu menunjukkan Seybald yang digelar ‘penjinak jerung’, mengawal pergerakan beberapa ekor jerung harimau dengan hanya sentuhan lembut tangannya di pesisir Kepulauan Tuamotu.

Gambar yang dirakam jurugambar, Cam Grant tersebut menonjolkan keindahan alam semula jadi dan pada masa sama sungguh menggerunkan, khususnya bagi mereka yang takut kepada ikan jerung gergasi.

“Saya seorang penyelam keselamatan jerung dan memberi makan kepada haiwan itu untuk menariknya berkumpul, seterusnya memberi pengalaman menakjubkan kepada pelancong. Penyelam baharu dan tetamu tidak dibenarkan berada dalam perairan itu, ia hanya untuk mereka yang berpengalaman dengan ikan jerung,” tegasnya.

“Jerung itu bukannya mahu menyerang saya tetapi hanya mahu menonjolkan dominasi kawasannya. Jika seekor jerung mahu menyerang saya, percayalah saya sudah lama mati. Jerung haiwan bijak dan tahu bukannya semua benda boleh dimakan,” tambahnya. – Agensi

Artikel Berkaitan   Lelaki Terkejut Kedai Tolak Permintaannya Untuk Tulis “Merry Christmas” Atas Kek Gara-Gara Persijilan Halal, Ini Respon Menteri Agama