“Pencapaian Saya Hari Ini Adalah Hadiah Untuk Mereka Yang Pernah Menjatuhkan Saya”

Pendatang baharu, Haneesya Hanee menganggap tragedi memalukan yang dilalui selepas menjuarai program Dewi Remaja 2018/2019 menjadi satu rahmat apabila dirinya dipilih sebagai pemenang kategori Artis Wanita Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP-32) Ahad lalu.

Pelakon watak Zara dalam drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu melihat kemenangan yang diraih adalah perkara lebih bermakna berbanding pertandingan Dewi Remaja yang pernah disertainya dahulu.

Haneesya, 19, pernah mengejutkan ramai pihak apabila beberapa video aksinya sedang berparti sambil menikmati minuman keras tular selepas beberapa hari selepas dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja.

Akibat daripada insiden tersebut, kemenangannya dilucutkan.

“Apabila ditarik satu perkara, maka akan digantikan semula dengan sesuatu yang lebih baik. Jika sebelum ini, gelaran saya ditarik balik tetapi kini telah diganti dengan kemenangan ini.

“Hadiah ini untuk mereka yang menjatuhkan saya. Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka kerana tanpa mereka, tidak mungkin saya akan berada di sini,” ujar Haneesya tentang kemenangannya merangkul trofi Artis Wanita Baharu Popular.

Ikuti temu bual bersama Haneesya ketika ditemui pada ABP32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

KOSMO!: Apakah yang membuat Haneesya merasakan kemenangan ini sebagai satu rahmat?

HANEESYA: Ya, benar apa yang berlaku adalah rahmat. Insiden lalu telah memberi impak dalam pelbagai aspek antaranya sikap saya sendiri. Saya kini berubah menjadi seorang yang lebih baik.

Saya juga sentiasa mendengar nasihat ibu dan cuba menjadi anak yang terbaik. Kini, saya lebih berhati-hati dan menjaga tingkah laku supaya tidak mengulangi perkara yang tidak diingini.

Adakah anda ingin membuktikan kepada masyarakat luar tentang kebolehan menjadi seorang bintang yang terdapat dalam diri walaupun pernah terpalit kisah hitam?

Artikel Berkaitan   Ketika Sedang Bersanding Tiba-Tiba Pengantin Wanita Jatuh Dan Maut. Pasangan Ini Bergelar Suami Isteri Hanya Seminggu

Saya tidak ada apa-apa yang mahu dibuktikan. Kemenangan ini adalah rezeki kurniaan Allah. Perkara paling utama mengenai kemenangan ini adalah berkat doa dan sokongan ibu yang selama ini berada di sisi saya. Tidak lupa juga kepada peminat yang sering memberi nasihat dan semangat ketika saya teruk dikecam. Saya bersyukur peminat amat memahami dan memaafkan kesilapan saya.

Apakah tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memastikan kehadiran anda dalam industri terus relevan?

Saya akan cuba sehabis baik untuk menjadi contoh kepada peminat. Selebriti juga boleh menjadi inspirasi kepada orang awam menerusi perkongsian positif dalam medium sosial media masing-masing.

Saya gemar berkongsi maklumat mengenai motivasi diri dengan harapan dapat membantu dan memberi impak terhadap khalayak.

Apakah perancangan anda untuk jangka masa panjang?

Saya menerima pelbagai komen positif daripada peminat yang mahu menyaksikan saya kekal sebagai pelakon.

Saya bersedia untuk terus belajar dan memperbaiki diri dalam dunia lakonan.

Saya berharap kemenangan ini akan memberi lebih impak terhadap kerjaya termasuk lebih banyak peluang sebagai pelakon.

Apakah komen anda jika sebelum ini dilihat kerap memuat naik aktiviti harian di laman sosial sehinggakan merakam video ketika sedang menangis dan mendapat kecaman hebat netizen?

Setiap perkongsian saya dalam platform laman sosial bukan untuk mencari publisiti murahan. Kebiasaannya, pihak luar akan mengambil kesempatan dan menjadikan saya mangsa kecaman.

Sesiapa yang telah lama mengikuti saya dalam media sosial pasti mengenali saya.

Apakah nasihat anda kepada pihak yang pernah menjatuhkan anda?

Sejujurnya, saya mengucapkan terima kasih buat individu yang menjatuhkan saya. Kejatuhan masa lalu merupakan permulaan karier dan pembuka pintu rezeki buat saya.

Artikel Berkaitan   Cek Google Maps, Ramai Gelabah Tetiba Muncul Kelibat Pocong

Pencapaian saya hari ini adalah hadiah untuk mereka yang pernah menjatuhkan saya. Saya percaya terhadap rezeki, sokongan ibu dan peminat.