Penduduk Bongkar Kematian Nora Anne Mungkin Kena Sorok Bunian Sebabkan Kawasan Itu “Keras”

Di sebalik dunia nyata, menjadi kepercayaan sebahagian masyarakat yang mendakwa wujud alam bunian yang terselindung di sebalik pandangan manusia.

Mukim Pantai yang mempunyai 15 kampung dan berada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng turut dikatakan mempunyai penempatan bunian.

Di kampung terbabit juga sering dikaitkan dengan kejadian orang sesat atau hilang ketika mendaki Gunung Berembun yang tidak jauh dari Pekan Pantai.

Penduduk mendakwa cerita itu disampaikan dari generasi ke generasi dan kebanyakan penduduk asal mengetahuinya namun Shaari Md Arshad, 71, berkata, mereka tidak tahu lokasi sebenar ‘kampung’ itu.

Nora Anne

“Dengarnya terdapat banyak kawasan (kampung). Itu cerita orang tua dulu dan kita pun tak ada bukti tapi kalau tanya mana-mana penduduk di sini, mereka tahu.

“Ada juga kawasan yang tempatnya keras, kita tak boleh masuk sampai sekarang iaitu di Batu 7. Banyak yang cuba masuk untuk ambil harta-karun di situ tapi ada saja halangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, lebih meyakinkan penduduk apabila ada seorang penduduk di situ yang mengaku berkahwin dengan orang bunian.

“Saya masih ingat namanya Ajis dan sekarang sudah meninggal dunia. Orangnya tak cakap banyak tapi kerap hilang dalam tempoh lama.

“Bila ditanya, katanya pergi jumpa anak sehingga keluarga terpaksa mengurungnya di rumah supaya tidak hilang lagi,” katanya.

Wujud juga cerita bahawa penduduk yang ingin membuat kenduri kahwin akan pergi ke kawasan jeram tidak jauh dari Kampung Kolam Air untuk ‘meminjam’ pinggan mangkuk.

“Keesokannya pinggan mangkuk itu akan didapati di situ. Khabarnya lama-kelamaan tidak ada lagi sebab penduduk tidak pulangkan semula pinggan yang pecah.

“Macam-macam cerita. Ada juga pemandu bas yang nampak orang berarak ramai-ramai seperti ada kenduri kahwin tapi sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Laluan ke Kampung Kolam Air yang juga ke Gunung Berembun.

Oleh sebab itu katanya, kehilangan Nora Anne Quoirin selama 10 hari menimbulkan persoalan penduduk kerana hilang dalam tempoh lama, ibarat ada yang ‘menyimpan’.

Shaari berkata, jika kes melibatkan pendaki Gunung Berembun, ia sudah menjadi perkara biasa namun boleh dikesan dalam tempoh beberapa jam.

Sementara itu, Imam I Masjid Kariah Pantai, Kahar Sukin, 73, yang juga penduduk asal di situ turut mengakui mendengar cerita wujud perkampungan bunian di kawasan Pantai.

“Itu cerita orang tua dululah yang disampaikan dari mulut ke mulut. Betul atau tidak, saya tak dapat pastikan.

“Katanya bila pinggan yang dipinjam daripada ‘mereka’ pecah tapi tidak dipulangkan, itu yang ‘dia’ marah. Lagipun ada kawasan jeram di situ dan banyak orang bayar nazar,” katanya.

Pasukan pengamal perubatan tradisional tiba memberikan bantuan dalam mencari Nora Anne Quoirin.

Bagaimanapun, menurutnya, sebagai orang Islam cerita tahyul dan perbuatan khurafat seperti itu tidak seharusnya dipercayai tetapi jika alam ghaib memang disebut dalam al-Quran.

Tok Batin Kampung Kolam Air, Ali Ngongor, 56, berkata, mereka juga percaya yang wujud perkampungan bunian di kawasan berkenaan, namun tidak pasti lokasinya.

“Kita tak sama dengan dengan alam ‘dia’, kalau tidak sudah tentu kita tahu dekat mana (kampung bunian).

“Soal orang cakap kerap berlaku kejadian mistik di sini, sudah tentulah sesiapa yang sesat mendaki Gunung Berembun tak dapat dicari, tapi jumpa juga,” katanya.

Pasukan SAR melakukan pencarian Nora Anne

Ali berkata, walau apa sahaja cerita yang timbul, dia berharap ia tidak akan menjejaskan orang ramai untuk datang ke kawasan itu.

(Visited 123 times, 1 visits today)