Penduduk Gempar Jumpa Mayat Wanita Separuh Bogel Yang Sudah Berulat

MAYAT wanita separuh bogel ditemui dalam keadaan berulat dalam ladang kelapa sawit di Jalan Bidor-Sungkai dekat Bidor, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihak polis menerima laporan penemuan mayat wanita tanpa identiti terbabit pada 1.45 tengah hari selepas ia dijumpai oleh orang awam.

Menurutnya, mayat wanita terbabit ditemui dekat cerun belukar di ladang itu iaitu kira-kira 200 meter dari jalan utama.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dan seluruh badannya juga sudah kembung.

“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pegawai patologi dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Tapah hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa terbabit.

Katanya, punca kecederaan dan kematian mangsa belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

“Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ipoh untuk proses bedah siasat sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil,” katanya.

kredit harian metro