Penduduk Pakat Mencari Bilal Apabila Azan Tak Dikumandangkan. Rupa-Rupa….. Mungkin Itu Petunjuk Ajal

SEORANG bilal masjid dalam perjalanan ke kebun duriannya maut selepas dihempap traktor pertanian dikendalikannya di Kampung Gong Pasir, Jertih, malam tadi.

Mangsa, Mat Isa Hamat, 59, yang juga kontraktor pembinaan dari Kampung Oh, Jabi, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 7.15 malam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Kampung Gong Pasir menghala ke kebun duriannya di kampung itu.

“Keadaan di lokasi kejadian curam kerana jalan berbukit dipercayai mengakibatkan traktor dikendali mangsa hilang kawalan lalu terbalik dan menghempap mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung menggunakan jengkaut untuk mengangkat traktor berkenaan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

“Hasil laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim yang turut berada di lokasi ketika mayat mangsa ditemui berkata, Allahyarham adalah bilal di Masjid Kampung Oh dan kehilangannya disedari selepas tidak muncul melaungkan azan sejak Zohor semalam.

“Dia dikatakan keluar rumah berseorangan sejak pagi untuk ke kebun duriannya di puncak bukit berkenaan bagi mengutip hasil.

“Kebiasaannya setiap kali masuk waktu solat, beliau akan melaungkan azan namun semalam dia tidak muncul.

“Penduduk kemudian berpakat mencarinya sebelum menemui Allahyarham dihempap traktor,” katanya.

Dr Azman yang juga Exco kerajaan negeri berkata, Allahyarham seorang yang baik dalam kalangan masyarakat dan kali terakhir bertemunya pada majlis berbuka puasa di Kampung Oh, Ramadan lalu.

Artikel Berkaitan   Polis Pelik Lelaki Ini Berjaya Rompak 2 Bank Dengan Hanya “Bersenjatakan” Buah Avocado

“Ketika itu beliau sempat berpesan kepada saya supaya lebih kerap ke masjid. Kita doakan Allahyarham diampunkan segala dosa dan semoga keluarganya tabah menerima ujian,” katanya.