Penduduk Terkejut ‘Bandar Hantu’ Muncul Di Kaki Langit Di China

HUAI’AN, China – Penduduk di bandar Huai’an, China terkejut apabila bayangan sebuah ‘bandar hantu’ muncul di kaki langit baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.


Fatamorgana tersebut muncul pada waktu tengah hari di Tasik Hongze dalam wilayah Jiangsu, timur China pada hujung minggu lalu.

Bangunan purba dengan atap melengkung, pokok dan kincir angin gergasi merupakan antara imej yang kelihatan di sebalik kabus di permukaan tasik berkenaan.

Penduduk yang berasa kagum, bergegas untuk melihat pemandangan menakjubkan itu.

Fatamorgana tersebut muncul selama setengah jam di barat daya tasik tersebut, lapor saluran berita tempatan, Jiangsu News Broadcast.

Memiliki keluasan 2,069 kilometer persegi, Hongze merupakan tasik air tawar keempat terbesar di China.

Salah seorang saksi yang juga jurugambar, Chen Kai memberitahu akhbar Modern Express bahawa dia menyaksikan pemandangan tersebut selepas hujan turun.

Kai berkata, dia melihat bangunan-bangunan China purba setinggi beberapa tingkat, termasuk menara, pagar, dinding istana kota dan bangunan kediaman.

Pemandangan tersebut dipercayai adalah bayangan atau ilusi yang terbentuk ketika cuaca panas lembap.

Bayangan itu berlaku apabila suhu kelembapan di udara adalah lebih tinggi berbanding suhu air tasik. Fenomena tersebut adalah serupa dengan refleksi yang dilihat pada permukaan air.

Sementara itu, Pengarah Muzium Tasik Hongze yang dikenali sebagai Pei berkata, fenomena serupa pernah muncul di wilayah itu pada tahun 1950-an dan 1960-an, berdasarkan bahan arkib yang disimpan.

Bagaimanapun, refleksi kelmarin dipercayai merupakan yang paling jelas pernah dirakam di kawasan tersebut.

Chen berkata, dia masih belum menemui sumber fatamorgana tersebut. 
– Agensi