Pengarah Terkenal A.Aida Terselamat Dalam Kemalangan, Beliau Terkilan Tidak Sempat Jumpa Arwah Kakaknya

Penerbit terkenal, Datuk A. Aida mengesahkan dia dan anak-anak berada dalam keadaan baik selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 390, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil, Terengganu kira-kira pukul 6 petang semalam.

Menurut Aida, 49, dia dan tiga anaknya ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Jertih, Terengganu bagi menziarahi kakak sulungnya yang meninggal dunia tengah hari semalam.

“Alhamdullilah kami semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan atau apa-apa yang serius.

“Ketika kejadian semalam, saya memandu perlahan kerana hujan yang turun agak lebat. Namun, secara tiba-tiba ada sebuah kereta memotong dengan laju dan air terkena cermin hadapan.

“Pada masa itu saya memang panik kerana tak nampak apa-apa sebelum hilang kawalan hingga terlanggar pembahagi jalan di kiri dan kanan lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online menerusi WhatsApp sebentar tadi.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang memberitahu, ekoran daripada kemalangan tersebut kesemua beg udara kereta Ford Mustang miliknya terkeluar.

Tambahnya, insiden kemalangan tersebut merupakan yang pertama kali dilaluinya sepanjang dia memandu.

“Sejurus kejadian saya terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang. Kereta cuma kemek pada bahagian kiri dan kanan selain kerosakan pada lampu.

“Agak terkilan kerana disebabkan kemalangan kecil ini, saya tidak berkesempatan menziarahi Allahyarhamah kakak sulung buat kali terakhir.

“Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan yang ditetapkan. Alhamdulillah kami anak beranak selamat dan tiada apa-apa yang teruk terutama melibatkan kemalangan jiwa,” ujarnya yang memberitahu kakaknya selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Padang Luas dekat Jertih akibat komplikasi jantung berair. – K! ONLINE

(Visited 1,180 times, 1 visits today)