Penyokong Datang Berkumpul Di Luar Mahkamah, Najib Razak Lega Tiada Kes Kluster Baru

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lega tiada kluster baru wujud susulan himpunan ramai di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini yang menunjukkan sokongan terhadapnya bulan lalu.

Najib yakin 14 hari bagi tempoh inkubasi bagi seseorang individu mengesan jangkitan wabak Covid-19 sudah berlalu, sekaligus menepis kebimbangan umum dirinya pencetus kluster baru.

“Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman mahkamah tinggi kes SRC saya.

“Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi Covid 14 hari sudah berlalu. Alhamdulillah,” catatnya di Facebook.

Mengakui himpunan itu sebagai ‘kesilapan’, beliau menasihati penyokongnya agar sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan termasuk penjarakan fizikal.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib atas semua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman mahkamah tinggi kes SRC saya.Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus…

Posted by Najib Razak on Selasa, 11 Ogos 2020

Pada hari penghakiman itu, beberapa pemimpin Umno termasuk Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan turun memberikan sokongan.

Polis menahan dan menyiasat beberapa individu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai himpunan haram serta Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

kredit projekmm

Artikel Berkaitan   Tips Untuk Elak Kereta Bahang Walaupun Dibiar Parking Waktu Panas Terik..