“Perangainya Agak Pelik. Dia Tiba-Tiba Manja Dan Kerap Mengucapkan ‘Adik Sayang Sangat Papa”

“ARWAH kerap bercerita mamanya kini berada di syurga,” kata Mohd Taquddin Ramli, 33, bapa kanak-kanak perempuan, 3, yang maut ditikam bapa saudara di Felda Cherul 2 dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 1 tengah hari menyebabkan Nur Hafiya Aufa maut serta merta.

Taquddin berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya Ahad lalu ketika Nur Hafiya datang melawatnya di Johor.

“Nur Hafiya beritahu datuknya yang dia rindu saya sebelum dibawa berjumpa saya.

“Selama dua hari bersama, perangainya agak pelik. Dia amat manja dan sering bergurau dengan saya, selain kerap mengucapkan ‘Adik sayang sangat papa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Kemaman di sini, semalam.

Katanya, malam terakhir bersama Nur Hafiya, arwah mengusap kepala dan janggutnya serta beberapa kali memberitahu sangat menyayanginya.

“Saya tidak menyangka itu petanda Nur Hafiya akan pergi buat selama-lamanya,” katanya yang bergegas pulang dari Johor sebaik dimaklumkan kejadian menimpa anak tunggalnya.

Taquddin berkata, kesedihannya yang kematian isteri akibat kemalangan tahun lalu masih belum terubat, kini dia kehilangan anak kesayangan.

Menurutnya, walaupun sedih kehilangan Nur Hafiya namun dia tetap memaafkan suspek yang juga darah dagingnya sendiri.

“Sampai hari ini saya belum tahu apa motif sebenar dia (suspek) bertindak sedemikian.

“Saya tidak salahkan dia (suspek), ada benda yang kita tidak tahu hingga dia menikam Nur Hafiya, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya,” katanya.

Jenazah Nur Hafiya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cherul jam 6 petang, semalam.

Artikel Berkaitan   Awas! Berhati-Hati Bila Membeli Berus Gigi Ditakuti Anda Telah Membeli Berus Gigi Bulu Bab1