Perbuatan Vandalism Biadap Conteng Mural Muhammad Adib

Tindakan biadab pihak tidak bertanggungjawab menconteng lukisan yang memaparkan potret anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dilukis di bawah jejambat berdekatan Bulatan Selangor di sini amat dikesali.

Kejadian tersebut disedari petang semalam oleh pengguna jalan raya ketika melalui jejambat yang bersebelahan dengan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.

Difahamkan, lukisan terbabit dilukis pada minggu lalu bagi memperingati jasa dan pengorbanan Muhammad Adib yang maut ketika menjalankan tugas dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, identiti individu atau pihak yang melukis mural tersebut tidak dapat dipastikan.

Lukisan terbabit turut tular di media sosial sejak beberapa hari lalu sebelum ia diconteng menggunakan cat hitam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perbuatan tersebut juga mendapat pelbagai reaksi negatif di laman sosial dan rata-rata mereka melahirkan rasa kecewa dan marah dengan tindakan berunsur khianat berkenaan.

Seorang pengguna Facebook, Sujita Soorian, yang memuat naik mural Muhammad Adib dalam keadaan berconteng itu berkata, dia terkejut melihat keadaan itu kerana pada sebelah siang semalam, mural berkenaan masih baik.

“Walaupun kau (Muhammad Adib) sudah tiada. Ada orang cuba tutup jejak-jejak pahlawanmu.Mereka pasti gagal. Mereka akan buntu kerana kita tetap bersamamu.

“Tangan-tangan gatal menconteng gambar Allahyarham Adib di Seksyen 15 Shah Alam,” catatnya di laman sosial itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi menegaskan, pihaknya tidak mengetahui individu yang melukis mural berkenaan.

“Saya tidak pasti bila lukisan itu dilukis dan siapa orangnya, individu itu pastinya mahu seluruh rakyat Malaysia mengingati Allahyarham Adib menerusi lukisannya,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – K! ONLINE

(Visited 143 times, 1 visits today)