PTPTN tawar simpanan RM500 percuma RM500 untuk 500,000 pelajar – Berita Harian
KUALA LUMPUR: Melahirkan masyarakat berilmu dalam negara membangun menjadi agenda penting dunia pendidikan hari ini dan ibu bapa digalakkan untuk menabung demi masa depan anak-anak khususnya pendidikan peringkat tinggi.
Harga untuk mendapatkan pendidikan pada masa depan dilihat lebih mahal. Sekiranya ibu bapa tidak bertindak sekarang, tidak mustahil anak-anak akan keciciran akibat kekurangan sumber kewangan.
Insentif simpanan pendidikan
Sehubungan itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM250 juta kepada 500,000 pendeposit bagi pembukaan akaun untuk anak yang berusia dari tujuh hingga 12 tahun menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M), SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus.
Bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2018, ibu bapa yang membuat simpanan bersih dalam SSPN1M, SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus berjumlah RM500 kepada anak-anak yang berada di sekolah rendah, layak menerima Insentif Khas Geran Sepadan (GS500) ini iaitu deposit percuma bernilai RM500 (GS500).
Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata GS500 adalah insentif simpanan pendidikan yang baik kerana ia memberi motivasi kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan selain dapat menyerapkan budaya menabung dari usia kanak-kanak.
PENGURUS Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop. – Foto Halim Salleh
Katanya, apa yang menarik ibu bapa tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan GS500 kerana dengan membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam SSPN1M, SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus sekurang-kurangnya RM500 tahun ini, mereka layak menikmati insentif ini.
“SSPN1M sentiasa mendapat perhatian kerajaan dengan menawarkan pelbagai insentif percuma yang merupakan suatu kebaikan dan keistimewaan kepada rakyat Malaysia. Ia juga mempunyai ciri-ciri pelan simpanan terbaik yang disediakan PTPTN.
“Selain itu, SSPN1M-i Plus menawarkan perlindungan takaful bermula dari RM40,000 hingga RM1 juta dan paling penting, ia patuh syariah,” katanya.
Berhubung had matang pengeluaran, Abdul Ghaffar berkata, insentif GS500 boleh dikeluarkan selepas penerima manfaat mencecah usia 18 tahun.
Simpanan jamin masa depan
“Bagaimanapun, ia boleh dikeluarkan sebelum mereka berusia 18 tahun dengan syarat baki minimum mestilah sekurang-kurangnya RM1,000 termasuk GS500.
“Penabungan awal bertujuan sebagai persediaan untuk simpanan pendidikan yang berupaya menjamin masa depan anak-anak kerana ia juga disertakan dengan perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.
“Jika berlaku perkara yang tidak diingini terhadap ibu bapa seperti kematian, masa depan pendidikan anak-anak terjamin,” katanya.
Abdul Ghaffar juga menyarankan supaya ibu bapa mengambil peluang yang disediakan PTPTN untuk membuat simpanan secara konsisten bagi tujuan pendidikan anak-anak.
Katanya, dengan menyediakan kewangan pendidikan tinggi yang mencukupi tidak akan membebankan anak mereka selepas tamat belajar sekaligus bebas hutang.
“Dengan ini, anak-anak dapat menumpukan kepada kerjaya masing-masing selepas tamat belajar . Ibu bapa seharusnya mengambil peluang yang terbentang luas ini dan jangan menunggu di saat akhir memandangkan PTPTN hanya menawarkan kepada 500,000 pelajar terawal saja,” katanya.
Dalam pada itu, kata Abdul Ghaffar, PTPTN juga melancarkan Cabutan WOW! SSPN1M-i Plus yang menyediakan hadiah menarik bernilai RM2 juta dan Cabutan WOW! dibuat setiap bulan, sukuan dan tahunan.
“Untuk menyertai Cabutan WOW!, pendeposit perlu membuka akaun baharu atau membuat penambahan deposit selain memastikan akaun aktif sehingga tamat tempoh promosi iaitu pada 31 Disember 2018.
“Pendeposit SSPN1M-i Plus baharu atau sedia ada adalah layak untuk cabutan dengan syarat akaun kekal aktif tanpa tunggakan sehingga tarikh cabutan yang ditetapkan manakala bilangan cabutan ditentukan daripada baki deposit SSPN1M-i Plus pada tarikh tamat tempoh promosi.
“Bagi tahun ini, PTPTN menyediakan hadiah lumayan iaitu empat hadiah utama iaitu pakej pelancongan keluarga ke Disneyland Jepun atau umrah dan bagi cabutan tahunan wang tunai RM100,000 menanti anda.
“Hadiah lain yang turut menanti termasuk pakej pelancongan keluarga dalam negara bernilai RM4,000 dan juga wang tunai untuk 4,006 pemenang Cabutan WOW! tahunan,” katanya.
Info
1. Cabutan WOW! SSPN1M-i Plus (Bulanan)
– Tempoh: Mac – Disember 2018
– Hadiah: 1 Pakej Percutian Keluarga Dalam Negara Bernilai RM4,000 + RM1,500
– Hadiah: 30 hadiah saguhati Tiket Percutian Keluarga ke Taman Tema Dalam Negara Bernilai RM1,500 + RM500
2. CABUTAN WOW! SSPN1M-i Plus (Sukuan)
– Tempoh: Januari – Mac 2018, April – Jun 2018 , Julai – September 2018, Oktober – Disember 2018
– Hadiah Utama: Empat pakej Percutian Keluarga Ke Taman Tema Disneyland Jepun / Umrah Bernilai RM23,000 + RM3,000
3. CABUTAN WOW! SSPN1M-i Plus (Tahunan)
– Tempoh: Januari – Disember 2018
– Hadiah Utama: RM100,000
– Dua cabutan RM50,000
– Tiga cabutan RM10,000
– 4,000 cabutan RM200