Pergerakan Yang Luar Biasa Di Joran Menyebabkan Wanita Ini Berjaya Menangkap Ikan Bermulut Dua

NEW YORK – Seorang wanita terkejut apabila menaikkan seekor ikan bermulut dua semasa dia dan suaminya keluar memancing di Tasik Champlain, negeri New York pada minggu lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Wanita itu, Debbie Geddes bagaimanapun melepaskan semula ikan itu selepas merakamkan gambarnya. Dia menunjukkan gambar haiwan ganjil tersebut kepada seorang rakan sekerja yang kemudian menyebarkannya dalam media sosial.

“Selepas kami menaikkan ikan ini ke dalam bot, saya tidak percaya apa yang saya lihat. Ia mempunyai dua mulut. Namun, ikan ini membesar dengan sihat. Sungguh menakjubkan. Kami merakamkan gambar dan melepaskannya kembali ke dalam tasik,” kata Debbie kepada rangkaian berita Fox News.

Gambar itu disiarkan di laman Facebook oleh rakan sekerjanya, Adam Facteau. Lelaki itu berkata, dia lebih teruja dengan penemuan itu berbanding Geddes.

“Geddes tidak yakin gambar itu akan diminati tetapi saya tahu ia akan menjadi popular,” kata Facteau.

Gambar tersebut dimuat naik di laman Facebook kelab pemancing, Knotty Boys Fishing dan dikongsi sebanyak 5,000 kali setakat petang kelmarin.

Hampir 1,000 orang meninggalkan komen dengan sebilangan mereka menyatakan bahawa keanehan ikan tersebut berlaku secara semula jadi tetapi ada juga yang berkata, ia adalah mutasi akibat pencemaran. – Agensi

Artikel Berkaitan   Tolak Motor Dalam Hujan, Abang GrabFood Terharu Pemandu Wanita Belikan Petrol